Isnin, 28 Oktober 2019 | 10:28pm
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Pembangkang persenda umur calon PH dibidas

PONTIAN: Umur Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini yang diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, dipersendakan oleh pemimpin pembangkang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN bagi PRK berkenaan hari ini, berkata beliau berharap tiada lagi PRK perlu diadakan selepas ini.

“Calon mereka, saya kira (berusia) 66 tahun, tahun depan 67 tahun. Saya harap kita tiada PRK lagi,” katanya yang juga Pengerusi UMNO Johor pada majlis berkenaan yang dirasmikan oleh Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi Twitter beliau, berkata soal hidup dan mati bukan untuk dipermainkan.

“Allah SWT boleh ambil nyawa kita pada bila bila masa, tidak kisah yang muda atau pun yang tua. Saya kenal ramai Yang Berhormat dari BN dan PAS yang umurnya lebih tua dari 66 tahun. Tidak pernah sekali terfikir bila nyawa mereka akan ditarik," katanya.

Setiausaha BERSATU Johor, Mohd Solihan Badri yang turut membidas Hasni, berkata ajal dan maut adalah ketentuan Allah SWT dan tidak mengira sama ada seseorang itu tua atau muda.

“Allah SWT yang menentukan hayat usia kita, (Hasni) jangan cakap begitu. Orang boleh meninggal dunia dalam usia yang muda," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X