Rabu, 23 Oktober 2019 | 5:27pm
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. - NSTP/Rasul Azli Samad

Pendirian peralihan jawatan Perdana Menteri bersifat politik peribadi - PKR

KUALA LUMPUR: Pendirian berhubung peralihan kepemimpinan tertinggi negara yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) didakwa bersifat kepentingan politik peribadi.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata parti tidak menolak kemungkinan pendirian dibuat ahli dan pemimpin parti itu adalah cubaan menyelamatkan diri dari isu kontroversi demi kelangsungan politik.

Dipercayai merujuk kepada pendirian Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu menegaskan kenyataan berkenaan bercanggah dengan agenda reformasi dan tidak menepati hasrat rakyat yang memilih Pakatan Harapan pada PRU lalu.

“Ia sama sekali tidak mencerminkan pendapat parti. PKR sudah beberapa kali dengan tegas menyatakan bahawa akan menghormati perjanjian yang dipersetujui dan peralihan kepemimpinan akan dibuat secara penuh hormat, tertib dan muhibah serta berlunaskan prinsip dan amalan demokrasi.

“PKR ingin menasihati semua pihak supaya menumpukan kepada isu kepentingan negara dan menitikberatkan kepada usaha menyelesaikan permasalahan rakyat, terutama dalam langkah segera untuk membaik pulih ekonomi negara.

“PKR juga menggesa semua pihak supaya menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pandangan serta menjaga tertib di dalam parti dan juga antara parti komponen demi menjaga keutuhan PH,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin mengambil pendirian menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal PRU-14.

Beliau dilaporkan berkata rakyat menyerahkan mandat kepada pentadbiran sedia ada untuk mentadbir kerajaan bagi tempoh lima tahun pada PRU-14.

Pendirian Mohamed Azmin itu sekali gus bertentangan dengan konsensus PH yang membabitkan pertukaran Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh penggal PRU-14 seperti dilaporkan sebelum ini.

Malah, Mohamed Azmin juga menyifatkan pihak yang mahu mengubah pentadbiran lebih awal dari itu sama ada satu atau dua tahun sebagai kerajaan ‘pintu belakang’.

Sementara itu, Parti Amanah Negara (AMANAH) turut menegaskan sikap dan pendirian sekali lagi bahawa persoalan peralihan dan kedudukan Perdana Menteri hendaklah diputuskan di dalam Majlis Presiden PH dan bukan oleh mana-mana individu atau badan yang lain.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad, berkata oleh itu, perbincangan mengenainya oleh mana-mana pihak atau badan selain Majlis Presiden PH adalah sia-sia dan tidak bermakna.

Beliau berkata, seperti mana majlis menentukan Perdana Menteri ketujuh, begitu juga majlis yang sama akan menentukan Perdana Menteri kelapan dan masa serta kaedah ia akan dilaksanakan.

“AMANAH juga ingin menegaskan bahawa mandat diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu untuk PH mentadbir negara ini secara bersama antara PKR, BERSATU, DAP dan AMANAH.

“Oleh itu, sebarang cadangan untuk menubuhkan kerajaan tanpa AMANAH dan DAP atau tanpa BERSATU adalah pelanggaran terhadap mandat itu dan tidak wajar dilayan dan diraikan,” katanya.

Berita Harian X