Rabu, 23 Oktober 2019 | 3:19pm
TIMBALAN Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub. - Foto Aswadi Alias

AMANAH pegang konsensus - Salahuddin

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) kekal berpegang pada konsensus Pakatan Harapan (PH), iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dalam penggal ini.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata perjanjian antara pimpinan parti komponen PH yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu, masih utuh sehingga saat ini.

“AMANAH sebahagian daripada PH dan perjanjian pada waktu itu ialah Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh, dan jelas menyatakan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Itu perjanjian yang masih utuh dan kita masih berpegang sehingga hari ini.

“Daripada segi tempoh masa (peralihan kuasa) pula terpulang kepada kebijaksanaan Majlis Presiden PH untuk berbincang dan memutuskan secara konsensus atas semangat PH,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian AMANAH sama ada mahu Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) atau sebaliknya.

Ia susulan pendirian Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam, yang menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal PRU-14.

Sebelum ini, Anwar dilapor membayangkan akan mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Dr Mahathir sekitar tahun depan, iaitu dua tahun selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir.

Anwar turut dilaporkan berkata, wujud perjanjian bertulis menyatakan beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir, yang dipersetujui semua parti komponen PH dan dinyatakan kepada umum sebelum PRU-14.

Berita Harian X