Sabtu, 12 Oktober 2019 | 3:20pm
Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau. - NSTP/Mikail Ong
Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau. - NSTP/Mikail Ong

GERAKAN uji kekuatan di Tanjung Piai

KUALA LUMPUR: Selepas tidak bertanding dalam lapan Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), GERAKAN hari ini mengesahkan akan meletakkan calon di PRK Tanjung Piai, Johor.

Keputusan itu bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru pada PRK yang akan diadakan 16 November ini.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau, berkata setakat ini parti mengenal pasti enam calon termasuk calon wanita untuk diteliti dan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu.

Beliau berkata, GERAKAN akan bertindak sebagai blok ketiga pada PRK itu sebagai peringatan kepada Pakatan Harapan (PH) yang didakwa gagal membawa perubahan.

Keputusan bertanding juga katanya sebagai mesej kepada Barisan Nasional (BN) untuk menghentikan sentimen perkauman yang ditonjolkan parti itu selepas menjalin kerjasama dengan PAS.

“GERAKAN buat pertama kali akan bertanding mengguna logo sendiri selepas keluar dari BN (Jun tahun lalu).

“Pada PRK kali ini, GERAKAN akan menonjol sebagai blok ketiga yang menawarkan pilihan alternatif kepada pengundi di Tanjung Piai. Bulan madu PH harus dihentikan dan sentimen perkauman BN perlu ditamatkan.

“GERAKAN adalah parti berbilang kaum yang mempunyai banyak bahagian dan cawangan di seluruh negara termasuk di Tanjung Piai. Sebelum ini parti kurang menonjol kerana kita bersama BN, kita bantu calon BN tetapi kali ini kita akan tunjukkan pilihan alternatif kepada rakyat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

GERAKAN melantik Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong selaku Pengarah Jentera PRK Tanjung Piai, manakala Senator Datuk Teo Kok Chee sebagai Ketua Bilik Gerakan.

PRK itu diadakan susulan penyandangnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng dan calon PAS, Nordin Othman.

BN akan hanya mengumumkan calon mereka seminggu sebelum penamaan calon atau hujung bulan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 November sebagai tarikh penamaan calon dengan tempoh berkempen selama dua minggu.

Sebelum ini Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mengesahkan akan bertanding jika pembangkang dan PH meletakkan calon bukan Melayu.

Presiden penaja PUTRA, Datuk Ibrahim Ali, dilaporkan berkata parti yang ditubuhkan pada Mei lalu itu juga bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru membabitkan mana-mana blok parti dalam pilihan raya akan datang.

Berita Harian X