Jumaat, 11 Oktober 2019 | 2:45pm
Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas. - Foto Abdullah Yusof
Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas. - Foto Abdullah Yusof

MyPPP jamin patuh setiap undang-undang ROS

KUALA LUMPUR: Peguam parti MyPPP sedang berunding untuk mematuhi setiap perlembagaan parti mengikut peraturan undang-undang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Presidennya, Tan Sri M Kayveas, berkata pihaknya akan melakukan perkara sewajarnya dalam mematuhi dan mengikuti keperluan yang sah bagi memastikan perlembagaan parti dikuatkuasakan.

“Sebagai Presiden myPPP saya ulangi bahawa siasatan terhadap MyPPP Kedah dan Wilayah Persekutuan tidak mempunyai kaitan dengan ibu pejabat myPPP mahupun secara peribadi.

“Saya mempunyai kepercayaan penuh bahawa kedua-dua negeri yang terbabit akan menyelesaikan perkara itu mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

ROS sebelum ini menarik balik notis perintah pembatalan MyPPP yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) Perintah Pembatalan (Seksyen 13(1)(c)(ix) dan keputusan membatalkan pendaftaran parti itu dibuat berikutan rayuan dikemukakan parti itu tidak menunjukkan sebab yang cukup di sebaliknya.

MyPPP sebelum ini berdepan krisis kepemimpinan apabila terdapat dua kem yang mendakwa menerajui parti berkenaan.

Kayveas juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menjadi pengkhianat supaya terus keluar daripada parti ini selepas cuba menghancurkan kepemimpinan parti selama enam dekad.

“Saya bersumpah untuk terus komited dan bekerjasama dengan politik Malaysia baharu bagi membersihkan politik kotor, agenda politik yang mengaut keuntungan untuk diri sendiri serta pengkhianat yang menipu bangsa sahaja,” katanya.

Berita Harian X