Selasa, 8 Oktober 2019 | 7:00pm
Gambar fail, Presiden MIC,Tan Sri S A Vigneswaran. - Foto Sairien Nafis

Jangan rampas kerusi MCA

KUALA LUMPUR: MIC tidak mahu UMNO merampas kerusi tradisi MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata BN wajar mengambil peluang membuktikan pembangkang mampu menerajui kerajaan yang dibentuk menerusi kepemimpinan pelbagai kaum dan agama.

Di samping itu, beliau berkata, BN perlu terus berpegang kepada prinsip keadilan yang memandu arah parti dalam membentuk kerjasama dengan parti berasaskan kaum di negara ini.

Katanya, demografi yang menyaksikan masyarakat Cina hanya mewakili kira-kira 42 peratus penduduk di kawasan itu bukan semata-mata faktor utama dalam penentuan calon.

Sebaliknya, beliau berkata persefahaman yang terbina antara UMNO dan MCA di kerusi itu wajar dipertahankan.

“Jangan rampas kerusi Tanjung Piai kerana PAS sudah menyatakan pendirian untuk sokong calon MCA. UMNO juga perlu membuktikan kerjasama dengan PAS bukan bermatlamat merampas kerusi parti komponen.

“Walau apa juga alasan, MIC mahu BN terus meletakkan calon MCA di kerusi itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Vigneswaran yakin isu calon Tanjung Piai akan dibincang dan diteliti dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang belum ditetapkan tarikhnya.

“Kita tunggu keputusan BN. Saya pasti dan yakin BN akan membuat keputusan sewajarnya,” katanya.

Sabtu lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memberi bayangan parti itu bakal bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai yang mempunyai 53,528 pengundi pada PRU-14, mempunyai komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus (Cina), 1.01 peratus India manakala lain-lain sebanyak 0.55 peratus.

Berita Harian X