Selasa, 8 Oktober 2019 | 6:14pm
Gambar fail, Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. - Foto Khairunisah Lokman

Isu kemasukan ahli baharu, akar umbi PKR diminta lebih terbuka

Kuala Lumpur: Ahli dan pemimpin akar umbi PKR perlu bersikap terbuka jika ada bekas pemimpin pembangkang berhasrat menyertai parti itu.

Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata ahli dan pemimpin akar umbi juga tidak boleh mengamalkan pilih kasih dalam menerima kemasukan ahli baharu.

Katanya, setiap aspek perlu diambil kira dalam menerima permohonan ahli baharu termasuk keupayaan dan potensi pemohon terutama yang berpengalaman dalam politik serta kerajaan.

“Kita mestilah ada sifat terbuka untuk menerima tokoh yang dapat beri nilai tambah kepada parti.

"Dalam kes permohonan Datuk Seri Said Salleh Keruak, beliau adalah seorang pemimpin yang berpengalaman.

"Jika diterima masuk, tentu ia akan dapat membantu PKR di Sabah. Dalam hal ini, akar umbi jangan ada 'double standard' hanya kerana beliau bekas pemimpin parti yang kini jadi pembangkang," katanya.

Beliau mengulas penolakan ahli dan pemimpin akar umbi PKR Sabah dengan permohonan Said Salleh untuk menyertai parti itu.

Ketua Cabang PKR Kota Belud, Mustapha Sakmud secara terbuka meminta pimpinan pusat PKR membuat penilaian yang adil sebelum memutuskan permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu.

Beliau menyifatkan kemasukan bekas pemimpin UMNO itu akan menjadi beban atau liabiliti yang boleh menjejaskan kekuatan PKR.

Shamsul Iskandar berkata, akar umbi juga perlu bersikap realistik kerana parti rakan dalam Pakatan Harapan (PH) juga menerima bekas pemimpin UMNO menjadi ahli.

"Biar pengurusan tertinggi parti memutuskan perkara ini. Lazimnya Biro Politik akan memutuskan hal ini.

"Kita jangan terus menolak bekas pemimpin parti yang kini jadi pembangkang menjadi ahli," katanya.

Berita Harian X