Selasa, 8 Oktober 2019 | 3:59pm
Gambar fail, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjawab soalan media selepas keluar dari Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kaum majoriti lebih layak pimpin kerajaan - PAS

KUALA LUMPUR: PAS berpendapat kaum majoriti lebih layak memimpin sesuatu kerajaan dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum.

Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kerajaan yang dipimpin bukan kaum yang mendominasi negara akan menimbulkan pelbagai masalah.

"Saya fikir dominasi kerajaan mestilah daripada kaum majoriti. Itu saja. Sekiranya dominasi ada, tidak akan timbul pelbagai perspektif dan ini (masalah) yang timbul hari ini.

"Dalam Islam pun, Nabi suruh lantik kaum yang mendominasi untuk mengetuai negara bagi mewujudkan kestabilan. Kegelisahan itu dapat dilihat hari ini," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas pelawaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan yang mengajak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk kerajaan baharu bersama Barisan Nasional (BN), PAS serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Tuan Ibrahim berkata, pelawaan Mohamad itu menandakan kegelisahan yang dirasai Timbalan Presiden UMNO itu.

"Terpulang kepada Tun Dr Mahathir untuk terima atau tidak," katanya.

Terdahulu pagi tadi, Dr Mahathir menegaskan beliau tidak berminat untuk menubuhkan kerajaan baharu bersama UMNO, BN dan PAS kerana ia sukar dilakukan dalam negara pelbagai kaum dan agama.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS terkejut dengan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang hanya memberikan RM1 subsidi minyak sehari kepada rakyat.

Katanya, bantuan itu tidak akan dirasai golongan berpendapatan rendah.

"Jumlah subsidi yang diberi tidak munasabah sebab kalau RM1 (sehari) gagal, tidak ada kesan apa-apa kepada rakyat. Lebih baik BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) sebab terus kepada rakyat B40. Itu lebih terasa kepada rakyat," katanya.

Berita Harian X