Selasa, 8 Oktober 2019 | 12:46pm
KETUA Cabang PKR Kota Belud, Mustapha Sakmud.

Kepemimpinan tertinggi PKR diminta buat penilaian adil sebelum terima Salleh

KOTA KINABALU: Pimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta membuat penilaian yang adil sebelum memutuskan permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, untuk menyertai parti itu.

Ketua Cabang PKR Kota Belud, Mustapha Sakmud, berkata kepemimpinan tertinggi PKR perlu melihat kesan kemasukan bekas pemimpin UMNO itu kerana ramai menganggapnya sebagai beban atau liabiliti yang boleh menjejaskan kekuatan PKR.

Katanya, kemasukan Salleh juga boleh menjerumuskan PKR dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dibicarakan, berikutan kedudukan Salleh sebagai penyokong kuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini.

“Sebagai Ketua Cabang Kota Belud dan Timbalan Pengerusi PKR Sabah, saya memang terkesan dan merasa kebimbangan pimpinan dan ahli parti seluruh negeri.

“Pengalaman dalam membina semula Kota Belud dengan membawa politik nilai yang bertembung dengan budaya politik wang yang berakar umbi di bawah pimpinan lama memang sukar untuk dilupakan.

“Perjuangan reformasi yang kita angkat diperlekeh dan wang menjadi taruhan utama untuk mempertahankan kuasa. Saya boleh memaafkan tetapi amat sukar untuk melupakan sejarah pemimpin yang sentiasa menafikan potensi pimpinan terutama generasi muda.

“Saya boleh berjiwa besar tetapi tidak akan berkompromi dengan prinsip perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini merujuk kepada berita berita permohonan Salleh untuk menyertai PKR yang dibuat secara dalam talian, baru-baru ini.

Mustapha berkata, pimpinan PKR perlu menilai secara adil di antara pejuang reformasi dan The Lost Samurai.

“Yang Berhormat (YB) Datuk Christina Liew walaupun dikatakan lemah tetapi tercatat dalam sejarah sebagai Pengerusi PKR negeri yang berjaya menjatuhkan BN setelah berjuang selama 20 tahun.

“Hubungan baik dengan Ketua Menteri Sabah banyak membuka ruang kepada pimpinan dan ahli parti mendapat manfaat sebagai rakan kongsi dalam kerajaan negeri.

“Ironinya yang mendapat jawatan penting disokong beliau selaku Timbalan Ketua Menteri sekarang menjadi penyokong utama kemasukan Datuk Salleh ke dalam parti,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Pimpinan Pusat PKR terutama Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuat penilaian dan pertimbangan yang adil dan tidak mempersiakan harapan rakyat yang mahukan perubahan politik.

Katanya, ramai lagi pejuang yang tidak didendang perlu diberi perhatian daripada menambah liabiliti kepada parti.

“Saya akan teruskan perjuangan dalam mendidik masyarakat memahami politik nilai dan perubahan selagi diperlukan oleh parti.

“Jika akhirnya saya dikorbankan saya tetap rasa bahagia kerana meninggalkan legasi kepemimpinan sebagai panduan generasi muda dalam meneruskan perjuangan,” katanya.

Berita Harian X