Isnin, 7 Oktober 2019 | 10:47pm
Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas. - NSTP/Yazit Razali

Kayveas gembira pembatalan MyPPP ditarik balik

KUALA LUMPUR: Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas melahirkan rasa gembira selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menarik balik pembatalan pendaftaran parti itu.

Beliau berkata, perkembangan itu memberi isyarat jelas bahawa keadilan, kejujuran dan kesetiaan sentiasa melangkaui kepentingan peribadi dan penyalahgunaan kuasa jahat.

“Sebagai Presiden MyPPP, saya gembira mengumumkan kepada penyokong dan media bahawa keputusan berkenaan memperlihatkan keadilan undang-undang terhadap parti itu.

“Keputusan ini membuktikan agenda jahat untuk menjatuhkan Presiden MyPPP menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah digagalkan akhirnya.

“Rancangan jahat pihak tertentu untuk menukarkan Presiden MyPPP sudah gagal dan sekarang saya akan pastikan agenda negara untuk membersihkan sistem parti akan dilaksanakan dalam MyPPP,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kayveas berkata, ROS mengeluarkan surat mengesahkan pembatalan MyPPP ditarik balik dengan mengambil kira kepentingan negara dan ahli parti berkenaan.

Justeru, beliau berkata MyPPP akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) menjelang 31 Disember ini seperti dinasihatkan oleh ROS, sebelum ini.

Sebelum ini media melaporkan Kayveas meminta ROS mengambil tindakan sewajarnya terhadap rayuan yang beliau kemukakan kepada jabatan itu mengenai pembatalan MyPPP.

Kayveas dalam kenyataan dipetik berkata, beliau sudah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui ROS pada 15 Januari lalu, iaitu sehari selepas ROS membatalkan pendaftaran MyPPP pada 14 Januari lalu.

Notis perintah pembatalan MyPPP dikeluarkan oleh Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) Perintah Pembatalan (Seksyen 13(1)(c)(ix) dan keputusan membatalkan pendaftaran MyPPP dibuat berikutan rayuan dikemukakan parti itu tidak menunjukkan sebab yang cukup di sebaliknya.

Notis perintah itu diberikan kepada Kayveas, Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz, Jabatan Insolvensi Malaysia, Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

MyPPP sebelum ini berdepan krisis kepemimpinan apabila terdapat dua kem yang mendakwa menerajui parti berkenaan.

Berikutan itu MyPPP terpecah kepada dua kepemimpinan iaitu di bawah Maglin selaku presiden yang dipilih selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu pada Mei tahun lalu dan pada masa sama Kayveas mengaku beliau masih presiden yang sah.

Berita Harian X