Isnin, 7 Oktober 2019 | 12:35am
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

PKR belum membuat keputusan muktamad

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum membuat keputusan muktamad mengenai permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menyertai parti itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau mengesahkan bahawa Ibu Pejabat PKR sudah menerima permohonan Salleh mahu menyertai parti berkenaan.

“Kita (PKR) memang sudah menerima permohonan beliau (Salleh) namun Biro Politik PKR belum membuat mesyuarat untuk memutuskan sama ada menerima atau menolak permohonannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis temu rapat pimpinan Pakatan Harapan (PH) bersama Ahli Parlimen PH dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah hotel di Subang, dekat sini, petang tadi.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berasingan mengesahkan sudah menerima permohonan keanggotaan Datuk Seri Salleh Said Keruak secara dalam talian.

Fahmi dalam satu kenyataan hari ini, berkata, Biro Politik PKR akan membincang dan mempertimbangkan permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu pada mesyuarat yang akan datang.

Terdahulu, Salleh dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, Sabah mengesahkan

memohon untuk menjadi ahli PKR secara dalam talian untuk pertimbangan kepemimpinan parti itu.

Menerusi blognya, Salleh Said.com, beliau menjelaskan perkara itu susulan tersebarnya berita bahawa yang beliau sudah menyertai PKR disiarkan di beberapa akhbar dalam talian.

Berita Harian X