Ahad, 6 Oktober 2019 | 2:32pm
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon. - Arkib NSTP
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon. - Arkib NSTP

Tanjung Piai: MCA tetap yakin bertanding

JOHOR BAHRU: MCA yakin Barisan Nasional (BN) akan mengemuka calon daripada parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, bulan depan.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata keyakinan itu timbul daripada permuafakatan yang sedia terjalin dalam komponen BN sejak dari dahulu.

Katanya, MCA menghormati pandangan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO pada Konvesyen UMNO Johor semalam.

“Saya percaya BN akan menjunjung tinggi permuafakatan dan kesefahaman yang sudah lebih 60 tahun terjalin antara parti komponen sejak era Parti Perikatan lagi.

“Ini bukan masanya untuk kita sesama parti (BN) saling berbalah, atau berebut kerusi tapi lebih penting mahu menghantar isyarat betul kepada rakyat Malaysia mengenai permuafakatan BN yang sudah lama kita junjung.

“Perjuangan kita bukan setakat PRK Parlimen Tanjung Piai sahaja tetapi lebih penting mahu memenangi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) yang memerlukan sokongan masyarakat majmuk, bagi menjamin BN membentuk kerajaan.

“Atas prinsip itu, MCA yakin BN akan menurunkan calon dari parti kami sebagai isyarat dan hala tuju jelas bagi memenangi peperangan lebih besar, iaitu PRU-15,” katanya ketika dihubungi BH.

Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menggesa kepemimpinan MCA berlapang dada dan menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai yang secara tradisinya ditandingi parti itu, kepada UMNO.

Ketika membuat gesaan itu pada Konvensyen UMNO Johor 2019, Presiden UMNO membayangkan parti pimpinannya berhasrat bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai yang dijadualkan pada 16 November depan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam sesi Facebook live dari ibu pejabat MCA semalam pula, enggan memberi penjelasan susulan kenyataan Presiden UMNO itu.

Sebaliknya, Ka Siong berkata, semua parti komponen akan bekerjasama bagi memastikan mereka memenangi kerusi berkenaan, selepas keputusan muktamad dicapai Mesyuarat Majlis Tertinggi BN yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sementara itu, Dr Hang Soon yang juga Pengerusi MCA Perak berkata, MCA sudah menyediakan beberapa calon terbaik parti itu bagi dipertimbangkan kepemimpinan tertinggi BN.

“MCA juga sudah membuat persediaan rapi, termasuk menyediakan jentera parti yang lebih komited,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu, berikutan komplikasi jantung.

Pada PRU-14, Dr Md Farid, seorang pakar bius, memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Berita Harian X