Ahad, 6 Oktober 2019 | 11:32am
Gambar fail, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak. - Foto Malai Rosmah Tuah
Gambar fail, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak. - Foto Malai Rosmah Tuah

Saya memohon jadi ahli PKR dalam talian - Salleh

KOTA KINABALU: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, mengesahkan memohon untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara dalam talian untuk pertimbangan kepemimpinan parti itu.

Menerusi blognya, Salleh Said.com, beliau menjelaskan perkara itu susulan tersebarnya berita bahawa yang beliau sudah menyertai PKR disiarkan di beberapa akhbar dalam talian.

“Saya menyerahkan kepada kepemimpinan parti untuk mempertimbangkan permohonan itu. Saya memilih PKR kerana parti ini mengamalkan politik berbilang kaum yang sesuai dengan pegangan dan pendirian politik saya dan juga suasana politik di Sabah.

“Seperti yang pernah saya jelaskan, saya dan sebilangan besar kepemimpinan UMNO Sabah mengambil keputusan meninggalkan UMNO pada Disember 2018 demi memberi tumpuan kepada masa hadapan negeri Sabah,” katanya.

Salleh berkata penyertaannya dalam PKR adalah untuk membantu parti itu membawakan politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan, terutamanya di negeri ini.

“Dalam kancah politik berteraskan kaum dan ekstrem yang boleh menggugat perpaduan serta kestabilan negara ketika ini, saya percaya PKR berada pada landasan yang betul untuk menyelamatkan negara dari bencana berkenaan.

“Saya menyertai dunia politik hinggalah ke hari ini, saya kekal sebagai seorang moderate, progresif dan amat mendukung kestabilan. Saya percaya tindakan yang saya ambil ini adalah langkah yang betul dan percaya saya boleh menyumbang ke arah kestabilan serta kemakmuran Sabah khususnya, dan Malaysia amnya, menerusi pembabitan dalam PKR,” katanya.

Salleh yang bertanding kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, memperoleh 19,167 undi, tewas di tangan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Isnaraissah Munirah Majilis yang mendapat 23,429.

Semalam, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, dalam satu kenyataannya mengesahkan sudah menerima permohonan keanggotaan Salleh secara dalam talian dan Biro Politik PKR akan membincang serta mempertimbangkan permohonan itu pada mesyuarat yang akan datang.

Sementara itu, Pengarah Pilihanraya Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang juga Ketua Cabang PKR Semporna, Mohd Amin Abdul Mem, berkata PKR Sabah perlu dimaklumkan mengenai kemasukan ahli baharu selain mendapatkan pandangan agar hasrat memartabatkan tuntutan kuasa autonomi negeri yang diberikan kepada MPN Sabah terus diperkasa.

Beliau berkata, ini bagi memastikan ia tidak bertentangan dengan polisi dan prinsip yang dipertahankan oleh parti khususnya era selepas pilihan raya lalu.

“Pimpinan parti selalunya tegas dan penuh berhati-hati dengan kemasukan mantan pimpinan UMNO terutama yang keluar beramai-ramai pada bulan Disember 2018. Saya berpandangan PKR Sabah berada pada landasan yang betul ingin menjuarai agenda reformasi dan politik perubahan demi kebaikan rakyat.

“Walaupun beberapa pemimpin pembangkang berpindah ke parti komponen yang memimpin kerajaan hari ini, PKR Sabah tetap untuk tidak menerima atas prinsip memelihara integriti kepemimpinan parti dan menghormati keputusan rakyat pada pilihan raya lalu.

“PKR memerlukan pemimpin memahami idealisme perjuangan reformasi yang antaranya membela rakyat, memerangi rasuah dan melawan ketidakadilan, bukannya hanya memikirkan kepentingan serta survival politik sendiri,” katanya sambil menambah beliau percaya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan terus kekal mempertahankan agenda perjuangan reformasi yang sudah menjangkau 20 tahun.

Berita Harian X