Rabu, 2 Oktober 2019 | 3:26pm
AHLI MKT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. - Foto Syarafiq Abd Samad
AHLI MKT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. - Foto Syarafiq Abd Samad

Mesyuarat MKT UMNO esok tumpu PRK Tanjung Piai

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai termasuk diadakan serentak dengan Perhimpunan Agung UMNO 2019, antara agenda utama yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO esok.

Bagaimanapun, mesyuarat itu dijangka tidak membincangkan isu calon secara terperinci kerana ia bakal dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik parti.

Ahli MKT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sudah tentu isu berkaitan PRK Tanjung Piai menjadi agenda utama dalam mesyuarat esok.

“Tapi bukan soal calon kerana itu mungkin Biro Politik yang bincang. Mungkin juga bincang tarikh PRK yang serentak dengan tarikh Perhimpunan Agung UMNO,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mesyuarat MKT yang akan dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid akan bermula jam 3 petang di Menara Dato Onn.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan 2 November sebagai hari penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai, manakala 16 November sebagai hari mengundi dengan tempoh kempen selama 14 hari.

Perhimpunan Agung UMNO dijadual berlangsung empat hari berakhir 16 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandang yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Berdasarkan laporan portal berita, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hampir pasti dinamakan sebagai calon BN, pertama kali seorang calon bukan MCA akan bertanding di kerusi Parlimen itu.

Berita Harian X