Selasa, 10 September 2019 | 6:58pm
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. NSTP/Fathil Asri.

Kerjasama PAS-UMNO bukan perkauman - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Kerjasama politik antara PAS dan UMNO adalah atas dasar penyatuan bukan atas dasar perkauman, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, PAS menolak sebarang propaganda yang dicetuskan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menggambarkan hubungan PAS dan UMNO bermotifkan sentimen perkauman yang sempit dan boleh mengundang konflik keharmonian.

“Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah mengatakan pada Julai lalu bahawa bangsa Melayu telah berpecah belah. Tindakan membentuk kerjasama PAS dan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk mempertautkan semula orang Melayu yang menjadi tonggak politik utama negara dengan menjadikan Islam sebagai teras penyatuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, laporan Straits Times (ST) Jun tahun lalu yang memetik pandangan daripada Merdeka Centre dan Kumpulan KRA mendedahkan kira-kira 95 peratus pengundi Cina dan 75 peratus pengundi India menyokong PH.

Oleh itu, katanya, tidak salah jika PAS dan UMNO mengukuhkan kembali kekuatan dalam kalangan 70 peratus pengundi Melayu.

“Hasrat PH sebenar adalah untuk memecahkan kesatuan 70 peratus ini. Selain itu, banyak isu yang dimainkan oleh PH termasuk kumpulan pendukungnya yang jelas menggugat status quo negara seperti ICERD, Statut Rom, UEC, Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, LGBT serta hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

“Maka, penyatuan ini adalah satu tuntutan yang mendesak supaya dapat mengimbangi isu-isu sensitif yang dimainkan oleh PH,” katanya.

694 dibaca
Berita Harian X