Selasa, 10 September 2019 | 6:38pm
Gambar fail, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - FotO Hafiz Sohaimi

Usah ramal perancangan UMNO, PAS - Annuar

KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS mempunyai perancangan tersendiri apabila kedua-dua parti bersetuju untuk mewujudkan kerjasama politik.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata perancangan itu hanya akan diketahui umum apabila tiba masanya nanti.

Justeru, UMNO katanya, meminta semua pihak supaya tidak meramal atau menjangka apa perancangan kedua-dua parti apabila bersetuju untuk bekerjasama menerusi piagam bersama yang akan dimeterai pada Sabtu ini.

“Tak usahlah ada pihak cuba meramal atau melakar apa yang kami mahu lakukan berdasarkan firasat yang serong.

“UMNO dan PAS ada perancangan sendiri. Ia akan diketahui apabila sampai masanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada 8 September lalu yang mendakwa Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS sebagai ‘piagam yang meragam’.

Annuar turut mempersoal motif Mujahid mengeluarkan kenyataan seumpama itu yang lebih bersifat berteka-teki dan membuat rumusan awal terhadap piagam kerjasama UMNO dan PAS.

“Beliau cuba membuat ‘prejudgement’ dengan memberi nilaian yang negatif walaupun beliau sendiri ternyata tiada sebarang maklumat mengenai apa itu Piagam UMNO-PAS,” katanya.

Sebaliknya, Annuar berkata, kerjasama UMNO dan PAS adalah mahu membina sesuatu yang kental dan tulen untuk Malaysia, bukan membina harapan palsu,” katanya.

557 dibaca
Berita Harian X