Ahad, 25 Ogos 2019 | 5:27pm
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari. - NSTP/Aziah Azmee

PH perlu buktikan lebih baik berbanding BN - Amirudin

SHAH ALAM: Kerajaan perlu membuktikan kepada rakyat bahawa pentadbiran negara di bawah Pakatan Harapan (PH) lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari, berkata harapan rakyat kepada PH adalah tinggi termasuk mahu kerajaan memenuhi janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Kena buktikan bahawa kita mampu untuk menjadi lebih baik berbanding BN, kena buktikan kita mampu menjadi lebih bagus berbanding BN.

“Kita kena ingat apa aspirasi dan cita-cita rakyat kepada kita, apa janji yang kita tawarkan, apa harapan yang kita tawarkan pada PRU dan sepanjang kempen PRU lalu,” katanya.

Beliau berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang PKR Peringkat Selangor 2019 di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamruddin; Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita PKR Selangor, Dr Daroyah Alwi.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor, berkata semua pihak perlu berhenti membangkitkan isu siapa paling layak menjadi pemimpin utama dalam pentadbiran kerajaan.

“Adalah lebih baik kita fikirkan cara untuk tunaikan amanah rakyat, bukannya asyik fikirkan siapa yang harus menjadi pemimpin nombor satu, dua, tiga dan empat dalam pentadbiran kerajaan.

“Tidak sudah-sudah timbulkan isu itu, isu ini. Hari-hari kita fikirkan politik untuk menangkan kita dan kawan kita.

“Sekarang masa untuk mengisi ruang dan peluang yang diamanahkan. Janganlah kita gagal tunaikan peluang yang kita miliki ini,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, semua pemimpin dan ahli PH Selangor perlu terus bekerja keras untuk mempertahankan kedudukan sebagai kerajaan negeri.

“Kedudukan PH Selangor dalam keadaan baik dan perlu dipertahankan. Sejak 10 pentadbiran di negeri ini, kita semakin kukuh bertapak.

“Selangor adalah pusat penting dalam konteks politik nasional,” katanya.

Berita Harian X