Isnin, 15 Julai 2019 | 7:28am
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri, Datuk Razali Idris.

Dr Mahathir perlu diberi peluang terus pimpin negara

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu dipaksa melepaskan jawatan, sebaliknya harus diberi peluang menerajui negara sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri, Datuk Razali Idris, berkata pengalaman Dr Mahathir mentadbir negara selama 25 tahun diperlukan bagi mengembalikan kegemilangan ekonomi berikutan keborosan dan kecuaian pentadbiran terdahulu.

Katanya, pelbagai spekulasi dan kenyataan dikeluarkan pimpinan PH yang meminta Dr Mahathir melepaskan jawatan bagi membolehkan peralihan kuasa dilakukan tidak membantu sebaliknya akan melambatkan usaha kerajaan mengembalikan kegemilangan ekonomi.

“Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU tentunya memerlukan tempoh lebih tiga tahun untuk mengembalikan negara ke status ekonomi Harimau Asia,” katanya ketika ditemui di ibu pejabatnya BERSATU negeri, di sini.

Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata demikian ketika mengulas sikap beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan kenyataan menggambarkan meminta peralihan kuasa jawatan perdana menteri dipercepatkan.

Tanpa mendedahkan nama pemimpin dalam PH yang lantang bersuara, Razali berkata, keadaan politik antarabangsa terutamanya ketegangan hubungan antara dua negara kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China, yang dijangka berlarutan antara tiga hingga lima tahun akan datang, memerlukan kepemimpinan Dr Mahathir untuk memastikan negara tidak terperangkap dalam ketegangan itu.

Katanya, BERSATU negeri berpendapat tidak ada pemimpin di negara ini yang mempunyai pengalaman menghadapi situasi politik antarabangsa melainkan Dr Mahathir.

“Dr Mahathir juga satu-satunya pemimpin yang mampu melaksanakan tanggungjawab memastikan kestabilan politik Melayu di negara ini.

“Kenyataan saya ini bukan bermaksud rasis, tetapi ia adalah fakta bahawa kestabilan politik Melayu akan memastikan kestabilan politik selain ekonomi negara,” katanya.

Razali berkata, BERSATU negeri meminta seluruh rakyat, terutamanya pemimpin PH terus memberi sokongan padu dan mendesak agar Dr Mahathir tidak terikat kepada sebarang perjanjian peralihan kuasa kerana negara masih memerlukan kepemimpinannya untuk menyelesaikan masalah ekonomi.

“Tidak perlu bersikap gelojoh dengan peralihan kuasa dan seluruh rakyat terutamanya kepemimpinan PH jangan lupa tsunami politik dibawa Dr Mahathir membolehkan PH menubuhkan kerajaan,” katanya.

Berita Harian X