Isnin, 24 Jun 2019 | 12:41pm
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Hairul Anuar Rahim
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Hairul Anuar Rahim

Azmin tak perlu letak jawatan - Tun M

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tidak perlu meletakkan jawatan walaupun dikaitkan dengan isu video lucah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata meletakkan jawatan bukan menjadi amalan di negara ini apabila seseorang menteri dan pemimpin politik berdepan kontroversi.

Malah, Dr Mahathir turut mempertahankan Mohamed Azmin tidak terbabit dengan aksi dalam video lucah yang tersebar dalam media sosial sebelum ini.

“Tidak perlu untuk beliau letak jawatan sebab di negara lain memang akan ada lakukan sesuatu. Contohnya apabila ada kapal terbang terhempas, ada menteri letak jawatan atau bunuh diri.

“Tapi itu bukan cara kita. Bukan amalan di negara ini (meletakkan jawatan) sekiranya timbul sesuatu isu,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Asia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Dr Mahathir mengulas tulisan wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkaitan kontroversi video seks yang dikatakan dirakam di Sandakan dan dikaitkan dengan Mohamed Azmin.

Walaupun beliau tidak menyentuh isu berkenaan secara spesifik, A Kadir memberikan contoh senarai menteri luar negara yang meletak jawatan kerana dakwaan salah laku seksual.

Antara contoh yang diberikannya ialah Menteri Perusahaan Kecil, Pengguna dan Tanggungjawab Korporat United Kingdom, Andrew Griffiths yang meletak jawatan kerana menghantar mesej berbaur seksual kepada wakil rakyat wanita dan di Kanada pula, Menteri Pembangunan Ekonomi Ontario, Jim Wilson turut membuat perkara sama.

Dr Mahathir turut yakin Timbalan Presiden PKR itu tidak sebodoh itu untuk merakam video dan gambar lucah seperti yang tersebar sebelum ini.

“Saya tak fikir dia sebodoh itu untuk buat seperti itu dan merakamkannya,” katanya.

Sebaliknya, Perdana Menteri menyifatkan kontroversi berkenaan ialah cubaan yang sengaja yang dilakukan untuk menjatuh Timbalan Presiden PKR berkenaan.

“Saya fikir ada yang cuba sengaja perangkap beliau dengan kehebatan elektronik masa kini, anda boleh tunjuk macam-macam gambar yang mungkin betul atau tidak.

“Sebab itu itu kita perlu tolak berita palsu. Kita mesti bertindak ke atas mana-mana berita palsu,” katanya.

Berita Harian X