Khamis, 20 Jun 2019 | 11:17pm
KETUA Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika berucap pada majlis Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-58 di Wisma Belia, Indera Mahkota. NSTP/Farizul Hafiz Awang
KETUA Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika berucap pada majlis Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-58 di Wisma Belia, Indera Mahkota. NSTP/Farizul Hafiz Awang

Taawun siyasi perlu dibuat dengan berhati-hati

KUANTAN: “Boleh, tetapi perlu berhati-hati.”

Mesej dalam nada seragam itu disuarakan perwakilan pada sesi perbahasan Muktamar Dewan Ulama ke-58 di sini, hari ini, ketika menyentuh isu kerjasama atau taawun siyasi bersama UMNO.

Walaupun tidak menolak kerjasama dengan parti yang pernah bergelar musuh ketat PAS itu, hampir semua perwakilan bersetuju ia perlu dilakukan secara berhati-hati bersandarkan keikhlasan kedua-dua pihak.

Perwakilan Terengganu, Jamaluddin Jusoh, berkata keikhlasan itu perlu wujud atas dasar Islam dan bukannya dipengaruhi kehendak mendapat kelebihan politik.

“Seperti mana PAS, UMNO perlu ikhlas dan bukannya datang kerana terdesak atau terpaksa.

“Mereka perlu yakinkan kita untuk tidak mengulangi tindakan silam walaupun mendapat kuasa,” katanya.

Nada perwakilan Kelantan, Ishak Hassan, lebih lantang apabila membangkitkan pengalaman negeri itu ditindas Barisan Nasional (BN) satu ketika dulu.

“UMNO di Kelantan dulu buat kita teruk, BN tak beri royalti minyak dan peruntukan juga tidak disalurkan manakala peruntukan sekolah agama rakyat (SAR) turut ditarik balik.

“Kelantan sudah rasai pahit-maung ditekan BN dan UMNO, maka barisan pimpinan Dewan Ulama perlu turun ke cawangan untuk memberi penerangan mengenai taawun siyasi.

“Selepas ini, kita mesti minta UMNO bertaubat untuk tidak lagi menekan PAS seperti dulu, ajak UMNO pusing satu Malaysia dan kena kata dia taubat,” katanya.

Perwakilan Selangor, Muhamad Nazmi Abdul Karim, turut mengingatkan ahli PAS supaya tidak terbawa-bawa dengan ‘perangai’ UMNO.

“Dengan UMNO kita kena berhati-hati, bimbang gatal mulut cari tender, cari projek sebab dah ada ustaz yang buat macam ni.

“Kita mesti ambil iktibar, taawun boleh tetapi mesti berhati-hati,” katanya.

Perwakilan Pulau Pinang, Mohd Zakaria Hamzah, mahu pimpinan PAS lebih berwaspada dan mengetuai kerjasama dengan UMNO.

“Kita cuma bimbang kalau parti ditipu orang lain,” katanya.

Sementara itu, Dewan Ulama PAS sebulat suara meluluskan usul supaya taawun siyasi menjadi rujukan dalam strategi serta pendekatan semasa PAS, terutama ke arah meluaskan dakwah, menegakkan tuntutan syariah dan menyatupadukan ummah.

Selain itu, Dewan Ulama juga mahu garis panduan terperinci berkaitan taawun siyasi diwujudkan untuk dijadikan rujukan seragam pada semua peringkat parti.

Berita Harian X