Rabu, 1 Mei 2019 | 2:00am
MARZUKI (tengah) bersama Mohd Redzuan (duduk, kanan) dan Maszlee pada Majlis Makan Malam dan Santai Ketua Bahagian Bersatu 2019 di A Famosa Resort, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
MARZUKI (tengah) bersama Mohd Redzuan (duduk, kanan) dan Maszlee pada Majlis Makan Malam dan Santai Ketua Bahagian Bersatu 2019 di A Famosa Resort, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

BERSATU terus beri sokongan padu pada Dr Mahathir

ALOR GAJAH: Kepemimpinan dan ahli akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terus memberikan sokongan padu terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad biarpun beliau terus berdepan kritikan daripada segelintir pihak.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata semua Ketua Bahagian BERSATU tetap berdiri teguh di belakang Pengerusi parti itu walaupun ada cubaan untuk melemahkan kepemimpinan negarawan berkenaan.

“Walau apa juga rintangan, apa juga halangan serta kecaman terhadap beliau (Tun Dr Mahathir), kami akan berdiri teguh di belakang Tun M.

“Kami yakin bahawa negara Malaysia perlu diutamakan disebabkan kerosakan (kerajaan) sebelum ini. Kita harus beri peluang kepada Perdana Menteri untuk membina semula negara, itu yang lebih penting sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam & Santai Bersama Ketua-Ketua Bahagian BERSATU 2019 di A’Famosa Resort Alor Gajah, di sini, malam ini.

Majlis bertemakan ‘Perjuangan Yang Belum Selesai’ itu dihadiri kira-kira 100 Ketua Bahagian BERSATU. Yang hadir sama, Naib Presiden BERSATU, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman; Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen serta Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen BERSATU Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Mengulas krisis yang berlaku membabitkan Tun Mahathir dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Marzuki berkata, krisis itu sedikit pun tidak melemahkan ahli parti kerana menganggap kenyataan itu adalah hak peribadi baginda.

Ditanya mengenai spekulasi hubungan dingin antara Dr Mahathir dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau menegaskan tidak wujud sebarang pergeseran antara kedua-dua pemimpin berkenaan, termasuk dalam soal pelantikan bekas EXCO Kerajaan Johor, Mazlan Bujang sebagai Pengerusi BERSATU Johor yang baharu.

“Tidak ada sebarang kem dalam kepemimpinan BERSATU. Hari ini sendiri jelas bahawa semua Ketua Bahagian BERSATU meletakkan sokongan padu kepada Tun M, Tan Sri Muhyiddin dan (Timbalan Presiden), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Ini menunjukkan usaha parti yang benar-benar BERSATU. Soal pelantikan Pengerusi BERSATU Johor, tiada terkait langsung dalam soal kem yang diputar belit sesetengah pihak yang cuba mengadu domba serta mengambil kesempatan berbanding situasi yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Berita Harian X