Rabu, 3 April 2019 | 8:09am
ANWAR beramah mesra dengan hadirin ketika tiba di Kuala Sawah untuk berkempen, malam tadi. - Foto BERNAMA
ANWAR beramah mesra dengan hadirin ketika tiba di Kuala Sawah untuk berkempen, malam tadi. - Foto BERNAMA

Anwar selar kenyataan rakyat tidak kisah kes 1MDB

SEREMBAN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyelar kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang menyatakan bahawa penduduk Rantau tidak peduli mengenai isu kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila menjemput bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk hadir berkempen di Rantau.

Beliau berkata, isu berkaitan 1MDB bukanlah satu isu yang kecil dan hanya diketahui rakyat Malaysia, malah berita mengenainya sudah tersebar di seluruh dunia.

“Mohamad Hasan sekolah mana? ingat 1MDB tak salah.

“Saya tidak salahkan penyokong (Najib) kerana mungkin mereka tidak mengetahui mengenai isu itu.

“Mereka sering menuduh kita memainkan isu yang sama berhubung hutang negara. Mereka suruh kita beralih dari isu itu tapi bagaimana? Kita masih perlu selesaikan hutang yang ditinggalkan (pentadbiran lama),” kata beliau ketika memberi ceramah di Taman Angsamas, di sini malam tadi.

Hadir sama, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) yang juga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Sebelum ini, media melaporkan, Mohamad yang juga calon Barisan Harapan (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, memberitahu bahawa Najib akan turun pada lewat minggu ini, malah dijemput untuk membantu berkempen di kawasan itu.

Beliau berkata, meskipun terpalit dengan isu 1MDB, ia tidak akan menjejaskan kempen di Rantau dan penduduk setempat langsung tidak mengambil kisah terhadap isu berkenaan.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata beliau akan memastikan pembangunan di kawasan itu akan memberi manfaat ke kawasan sekitar termasuk Rantau.

“Rantau terletak sebelah Port Dickson, sekiranya calon PH Dr S Streram menang, sudah pasti saya berusaha membawa pembangunan ke Rantau.

“Pelbagai projek seperti pembangunan hotel kini sedang dalam perancangan di Port Dickson yang mana saya menegaskan bahawa pengambilan kerja hanya perlu diberi keutamaan kepada masyarakat setempat.

Ini pastinya akan menghasilkan peluang pekerjaan kepada warga Rantau,” katanya.

Berita Harian X