Rabu, 6 March 2019 | 6:30pm
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) bertemu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum mesyuarat jawatankuasa perunding antara PAS-UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. Turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (kanan). - Ihsan UMNO Online
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) bertemu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum mesyuarat jawatankuasa perunding antara PAS-UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. Turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (kanan). - Ihsan UMNO Online

Jentera PAS, UMNO gabung hadapi PRK DUN Rantau

KUALA LUMPUR: PAS akan menggabungkan jentera parti itu dengan UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April depan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata tindakan itu bagi memastikan semua gerak kerja kedua-dua parti berjalan lancar dan berkesan.

“PAS dengan ini mengesahkan akan memastikan calon UMNO memenangi dan mengekalkan kerusi DUN Rantau.

“Perkara ini adalah obligasi mandatori PAS selaras Ta’awun Siyasi yang dimeterai PAS dengan UMNO, semalam.

“PAS akan menggabungkan jentera parti pada peringkat kawasan Rantau dan Negeri Sembilan dengan jentera pilihan raya UMNO bagi memastikan gerak kerja kedua-dua parti berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, PAS dan UMNO secara rasmi mengadakan mesyuarat kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti, dan bersetuju bekerjasama sebagai pembangkang yang antara lain menumpukan kerjasama bagi menghadapi PRK akan datang.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PAS yakin UMNO akan mengekalkan Timbalan Presidennya yang kini menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon pada PRK itu.

“Ini berdasarkan rekod perkhidmatan beliau yang cemerlang bukan sahaja kepada rakyat DUN Rantau, malah seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan PRK bagi DUN Rantau akan diadakan pada 13 April depan, manakala hari penamaan calon pula 30 Mac ini.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), adalah terbatal dan tidak sah.

Berita Harian X