Sabtu, 2 Februari 2019 | 6:56pm
PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika berucap pada majlis Program UMNO Bangkit Di Akar Umbi di Marang. - Foto NSTP/Imran Makhzan
PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika berucap pada majlis Program UMNO Bangkit Di Akar Umbi di Marang. - Foto NSTP/Imran Makhzan

UMNO Terengganu sedia terima kembali bekas pemimpin

KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu bersedia menerima semula kemasukan bekas pemimpin dan ahlinya yang keluar meninggalkan parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kepemimpinan parti di peringkat negeri sentiasa membuka pintu kepada bekas pemimpin termasuk Ahli Parlimen untuk menyertai semula UMNO, selepas mengumumkan menyertai Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, katanya, kemasukan semula bekas pemimpin dan ahlinya perlu dibuat mengikut peraturan parti termasuk perlu mengisi borang permohonan selain bersedia untuk menjadi ahli biasa.

“Keputusan penuh permohonan untuk kembali semula ke pangkuan UMNO akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.

“Secara peribadi, UMNO negeri bersedia menerima semula kemasukan kerana bekas pemimpin yang mengambil keputusan meninggalkan parti sebelum ini adalah semua rakan baik dan pernah berjuang bersama saya,” katanya ketika ditemui selepas berucap merasmikan program UMNO Bangkit di Akar Umbi peringkat UMNO Bahagian Marang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan Ketua Wanita UMNO negeri, Zaitun Mat Amin.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal berkata, setakat ini UMNO negeri belum menerima permohonan rasmi kemasukan semula bekas pemimpin dan ahlinya untuk menyertai semula parti, tetapi ada antara mereka memaklumkan secara lisan kepada jawatankuasa di peringkat negeri.

“Sebetulnya ada antara mereka ingin menyertai semula UMNO, tetapi segan untuk menemui dan menyerahkan borang keahlian secara terus kepada saya selepas mereka mengakui terpedaya serta dipermainkan pemimpin parti dalam PH,” katanya.

Ketika mengulas mengenai keahlian parti di negeri ini, Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata, UMNO sedang melakukan pemutihan kerana ada antara ahli parti sudah meninggal dunia.

Berita Harian X