Isnin, 14 Januari 2019 | 5:46pm
M Kayveas. - NSTP/Abdullah Yusof
M Kayveas. - NSTP/Abdullah Yusof

Ditawar logo calon Bebas punca Kayveas tarik diri

KUALA LUMPUR: Ditawar menggunakan logo calon Bebas untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands antara faktor utama Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas menarik diri sebagai calon PRK.

Sumber parti itu menjelaskan, antara logo yang ditawarkan kepadanya adalah kunci dan payung.

“Jadi Tan Sri (M Kayveas) nampak tidak ada peluang untuk menang jika bertanding atas kapasiti sebagai calon Bebas,” katanya.

Beliau berkata, Kayveas memang tidak berminat bertanding atas kapasiti itu biarpun itulah peluangnya menjadi calon dalam pilihan raya selepas digugurkan dari senarai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ditanya sama ada tawaran menggunakan logo calon Bebas itu datang dari pihak tertentu yang mungkin menguruskan perjalanan pilihan raya atau agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), sumber itu tidak mengesahkan.

“Cuma, keputusan ini (tarik diri) memang sudah ditimbang sedalam-dalamnya Kayveas dan hanya dibuat saat akhir iaitu sehari sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Ditanya juga, apakah keputusan itu dibuat berkait dengan masalah dalaman partinya, sumber itu mengesahkan ia memang berkait kemelut dalaman, bukan unsur luar.

Sebuah portal berita melaporkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran MyPPP mulai hari ini.

Pembatalan itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim kepada parti itu dengan salinan kepada pemimpin hari ini, melalui sepucuk surat.

“Maka oleh itu, diperintahkan pendaftaran pertubuhan yang namanya tersebut di atas dibatalkan mulai tarikh perintah ini,” menurut salinan surat itu seperti dilaporkan portal berkenaan.

Berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, keputusan itu boleh dirayu dalam tempoh 30 hari.

Menjelang PRU-14 yang lalu, MyPPP yang dulunya komponen BN berdepan krisis kepemimpinan selepas dua kem dalam parti itu, mendakwa masing-masing sebagai peneraju parti yang sah.

Kumpulan Kayveas yang mengisytiharkan MyPPP sebagai parti berstatus bebas, meletakkan Kayveas sebagai presiden sah, biarpun satu lagi kumpulan diterajui Datuk Maglin D’ Cruz, yang menyokong BN, memecatnya.

Kesan daripada perpecahan dalaman MyPPP itu, krisis berkenaan dirujuk dan disiasat oleh ROS.

Kayveas ketika hari penamaan calon pada PRK Cameron Highlands Sabtu lalu, membuat kejutan apabila menarik diri saat akhir untuk bertanding sebagai calon bagi mewakili MyPPP.

Keputusan dibuat Kayveas sedikit sebanyak membuka peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mengukuhkan sokongan dalam kalangan masyarakat India di Parlimen itu, selepas MIC tidak meletakkan calonnya kali ini.

Kayveas, yang juga bekas menteri era BN, dikatakan mempunyai sokongan yang baik dalam kalangan masyarakat India di sini, terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata.

Berita Harian X