Jumaat, 14 Disember 2018 | 4:24pm
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Edmund Samunting
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Edmund Samunting

Saya jumpa semua orang bincang agenda reformasi - Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka untuk bertemu wakil rakyat dari mana-mana parti politik di Parlimen termasuk pihak yang menyokong agenda reformasi.

Anwar berkata, selain Penasihat DAP, Lim Kit Siang, beliau turut bertemu dengan wakil UMNO, PAS dan Barisan Nasional (BN) di Parlimen.

“Saya bertemu semua orang di Parlimen tetapi bukan soal sertai parti.

“Saya jawab dengan konsisten yang mana saya sedia bincang, tapi bincang tentang semua perlu sokong agenda reformasi,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas lanjut pertemuan beliau dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.

Nazri sebelum ini menyatakan beliau ada berjumpa dengan Anwar di Parlimen bagi membincangkan beberapa perkara selepas Ahli Parlimen Port Dickson dilantik menjadi Perdana Menteri nanti.

Antara permintaan Nazri adalah supaya Anwar tidak mengaibkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan tidak membubarkan UMNO.

Anwar berkata, perkara itu tidak mempunyai kaitan untuk mengaibkan Najib, tetapi asas untuk Peguam Negara melakukan pendakwaan atas kesalahan yang dilakukan.

“Hari ini, negara terbeban dengan kehilangan dana besar dan jika Najib didapati bersalah, beliau perlu bertanggungjawab.

“Tugas kerajaan adalah mendakwa dan saya sokongan tindakan kerajaan ini,” katanya.

Berita Harian X