Khamis, 13 Disember 2018 | 9:16pm
PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pelancaran dan dialog buku Tian Chua 'Lakaran Jiwa Merdeka: Catatan Dari Penjara Kajang' di Universiti Malaya, hari ini. - Foto BERNAMA
PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pelancaran dan dialog buku Tian Chua 'Lakaran Jiwa Merdeka: Catatan Dari Penjara Kajang' di Universiti Malaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PKR tidak terima individu lompat parti

KUALA LUMPUR: PKR tidak akan terima permohonan bekas ahli UMNO yang mahu lompat parti kerana ia mahu kekal komited kepada agenda reformasi, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mengakui ada sebilangan besar bekas ahli parti pembangkang menemuinya, bagaimanapun beliau menegaskan kepada mereka bahawa PKR kekal utuh dengan perjuangan agenda reformasi.

“Ya, ada sebilangan besar. Saya tidak fikir adalah sesuai untuk menamakan mereka, saya rasa kita tidak menerima mereka dan saya tidak ingin meneruskan untuk mempertimbangkan isu ini tetapi saya hargai hakikat bahawa mereka datang menemui saya.

“Saya menerangkan secara jelas kepada mereka bahawa kami (PKR) adalah parti yang komited kepada perubahan dan kami berjuang bersama dalam pilihan raya umum menentang kerajaan kleptokrasi yang mengamalkan rasuah .

“Justeru, biarlah kami meneruskan agenda ini tanpa sebarang gangguan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku ‘Lakaran Jiwa Merdeka: Catatan Dari Penjara Kajang’, nukilan Tian Chua, di sini hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas tindakan beberapa ahli UMNO Sabah termasuk barisan kepemimpinan tertinggi merangkumi wakil rakyat baru-baru ini meninggalkan parti itu secara beramai-ramai.

Beliau juga ditanya mengenai kekecewaan disuarakan beberapa pemimpin DAP terhadap tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerima bekas ahli UMNO menyertai parti itu, termasuk bekas Ketua Puteri UMNO dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

“Buat masa sekarang, saya hanya boleh bercakap bagi pihak PKR...ada yang datang kepada PKR dan saya ada menemui mereka...saya rasa dalam politik, walaupun ada yang kurang senang dengan perjumpaan terbabit, mereka tidak faham, boleh sertai parti tapi tak boleh berjumpa.

“Bagi saya, perjumpaan dan hubungan baik perlu digalakkan tetapi saya amat jelas kepada mereka bahawa mereka bolehj kekal dalam parti, atau menjadi ahli bebas tetapi pada ketika ini, agak sukar bagi kita (PKR) menerima mereka kerana berpendapat umum menyokong agenda perubahan PH,” katanya.

Mengenai pelantikan Ahli Parlimen bebas yang baru, Datuk Seri Ronald Kiandee, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Anwar berkata ia akan dibincangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

Berhubung perjumpaan dengan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Anwar berkata ia hanya untuk membincangkan sokongan terhadap agenda perubahan dan bukannya mengenai memasuki mana-mana parti.

“Perbincangan amat terbuka, saya jawab secara konsisten kerana kita sedia untuk berbicara tetapi tidak bercakap mengenai lompat parti tapi lebih kepada sokongan ke arah agenda perubahan,” katanya.

Anwar berkata demikian apabila diminta mengulas laporan sebuah portal berita mendakwa satu perjumpaan diadakan semalam antara Nazri bersama ahli UMNO Selangor dan Anwar selaku bakal Perdana Menteri.

Berdasarkan laporan berkenaan, Nazri difahamkan membuat beberapa permintaan kepada Anwar untuk dipenuhi apabila beliau menjadi Perdana Menteri, antaranya supaya UMNO tidak dibubarkan dan supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak diaibkan.

Anwar berkata, beliau menyokong keputusan kerajaan untuk mendakwa Najib dan berpendapat adalah tidak wajar untuk mengaibkan sesiapa tetapi biarlah pihak berkuasa melakukan tugas mereka.

Berita Harian X