Khamis, 13 Disember 2018 | 3:46pm
bekas ADUN Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail. - Foto Sharul Hafiz Zam
bekas ADUN Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail. - Foto Sharul Hafiz Zam

Tiada gerakan keluar UMNO di Kedah

ALOR SETAR: Tiada ‘gerakan’ keluar daripada UMNO diyakini akan berlaku di Kedah berikutan kedudukan parti itu sudah terlalu lemah di negeri ini yang kini hanya diwakili masing-masing dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.

Menurut sumber, sebarang tindakan keluar parti termasuk yang dilakukan oleh bekas ADUN Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, adalah berdasarkan keputusan individu dan ia dipercayai tidak ‘didalangi’ oleh gerakan seperti yang berlaku di Sabah.

“Tiada gerakan sebab tiada keperluan sangat berikutan ADUN BN tidak ramai...UMNO sudah sangat lemah di Kedah. Jadi, saya tidak nampak perlunya ada tindakan seperti berlaku di Sabah.

“Sebarang tindakan keluar parti adalah keputusan yang dibuat pada peringkat individu tanpa kewujudan sebarang desakan atau gerakan, ” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini.

Semalam, UMNO Sabah disifatkan lumpuh selepas lima Ahli Parlimen dan sembilan ADUN daripada parti itu di negeri terbabit, diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hajiji Noor, mengumumkan keluar parti.

Di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei lalu, UMNO hanya memperoleh tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Guar Chempedak, Bandar Baharu dan Sungai Tiang, manakala dua lagi kerusi Parlimen di Padang Terap dan Baling.

Namun, kedudukan UMNO di Kedah semakin lemah apabila Ku Abd Rahman menjadi ADUN pertama mengumumkan keluar daripada parti itu, awal bulan lalu bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menurut sumber, seorang lagi ADUN daripada UMNO dipercayai bakal mengikut jejak Ku Abd Rahman untuk keluar daripada parti, namun masih memikirkan haluan parti politik mana yang akan disertainya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ketika dihubungi, turut mengakui tidak dengar sebarang kewujudan gerakan daripada wakil rakyat di negeri ini untuk keluar parti.

Beliau berkata, meskipun Kedah hanya diwakili empat wakil rakyat dari UMNO, pihaknya percaya kekuatan parti itu masih ada di negeri ini khususnya daripada ahli.

“Saya tak dengar apa-apa (keluar parti) di Kedah ini, namun ia adalah hak masing-masing, kita tak boleh paksa orang...macam di Kedah kita masih ada wakil rakyat UMNO dan ahli kita ramai, ” katanya.

Sementara itu, ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob, ketika dihubungi memberi jaminan akan tetap kekal dan masih mahu bersama UMNO berikutan percaya masih ada keperluan untuk berjuang dalam parti itu.

Mengakui wujudnya tekanan untuk keluar daripada UMNO, Suraya yang juga bekas EXCO kerajaan negeri Kedah bagaimanapun berkata jika keadaan mendesak untuknya berbuat demikian, beliau rela untuk melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat kerana ia dimenangi atas kapasiti parti itu.

“Saya masih lagi nak bersama UMNO, kita kena berhenti menyalahkan orang lain termasuk Presiden Parti atau institusi itu sendiri kerana siapa yang lompat itu sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana mereka sudah tidak lagi bersama dengan perjuangan kami.

“Ada tohmahan dan tekanan tetapi prinsip saya, kalau ia perlu sangat dan depa (mereka) nak paksa saya sangat (keluar parti) saya akan letak jawatan ADUN, ” katanya.

Ku Abd Rahman pula ketika dihubungi berkata, pihaknya mengakui semakin yakin bahawa keluar parti adalah tindakan paling tepat dibuatnya susulan apa yang berlaku di Sabah kini jelas menggambarkan ada yang tidak kena dengan UMNO.

Beliau berkata, pihaknya percaya setiap pemimpin dalam UMNO perlu menilai sendiri dengan mengambil kira senario semasa, masa depan parti dan peranan mereka sebagai wakil rakyat sebelum membuat keputusan sama ada mahu kekal atau meninggalkan parti yang berusia 60 tahun itu.

Berita Harian X