X
Khamis, 6 Disember 2018 | 5:52pm
YAMANI Hafez Musa
YAMANI Hafez Musa

Yamani Hafez angkat sumpah sebelum tamat tempoh - Pemuda UMNO Sabah

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa dijangka mengangkat sumpah di Dewan Rakyat sebelum tempoh yang ditetapkan kepadanya untuk berbuat demikian tamat pada 15 Januari depan.

Setiausaha Pemuda UMNO Sabah, Bahrin Abdul Karim, berkata pihaknya yakin anak bekas Ketua Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman itu akan pulang ke Malaysia sebelum tarikh berkenaan.

“Saya difahamkan dia (Yamani) masih berada di London dan perlu menyelesaikan beberapa perkara peribadi. Namun, saya pasti dia akan pulang untuk mengangkat sumpah. Kami dimaklumkan dia akan pulang,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada ketidakhadiran Yamani Hafez menyebabkan keyakinan rakyat terhadap UMNO merosot khususnya di Sipitang, Bahrin berkata parti berkenaan tetap melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat kawasan itu.

“Saya juga difahamkan bahawa ada pegawai membantu Yamani untuk menyelesaikan perkara di Parlimen termasuk menghantar surat berkaitan ketidakhadirannya. Saya tidak pasti tetapi dia (Yamani) perlu membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, sumber dalam kalangan Pemuda UMNO Sipitang memberitahu NSTP, ketidakhadiran Yamani Hafez akan menjejaskan keyakinan dan kepercayaan ahli parti itu dengan ada antara mereka sudah menyatakan perasaan kecewa berhubung perkara itu.

“Walaupun begitu, kita masih berharap dia akan pulang dan mengangkat sumpah. Kami difahamkan dia akan pulang tetapi sekarang dia masih berada di luar Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Ariff Md Yusof, berkata pihaknya akan mengeluarkan surat peringatan terakhir kepada Yamani Hafez untuk tampil mengangkat sumpah segera atau berdepan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Mohd Ariff berkata, Dewan Rakyat sebelum ini menolak permintaan Yamani Hafez untuk mengangkat sumpah melalui sidang video kerana tiada peruntukan yang membolehkan kaedah itu dilaksanakan.

Beliau turut berkata, beberapa surat peringatan sudah dihantar kepada Yamani Hafez namun tiada balasan diterima.

Berita Harian X