Khamis, 6 Disember 2018 | 1:59pm
MUKHRIZ bergambar bersama dengan pelajar yang menerima sumbangan peralatan sekolah pada Program Kembali Ke Sekolah di Dewan Seri Mentaloon. - NSTP/Amran Hamid
MUKHRIZ bergambar bersama dengan pelajar yang menerima sumbangan peralatan sekolah pada Program Kembali Ke Sekolah di Dewan Seri Mentaloon. - NSTP/Amran Hamid

ADUN Guar Chempedak sertai BERSATU

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail yang sebelum ini mengumumkan keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas, sudah menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, memaklumkan Ku Rahman yang pernah menjadi EXCO kanan ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) itu, ada menghantar borang keahlian baru-baru ini.

Mukhriz berkata, pihaknya sudah menerima borang keahlian yang disampaikan Ku Rahman sendiri kerana beliau mahu berjuang bersama BERSATU.

“Sebenarnya kita sudah bincang perkara ini sudah lama, tetapi borang terbabit baharu saja diisi dan diserahkan minggu lalu, oleh beliau.

“Selepas menilai dan meneliti, kita (BERSATU) sudah menerima permohonannya menjadi ahli BERSATU,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah anjuran Yayasan Salam di sini, hari ini.

November lalu, Ku Rahman melalui Speaker DUN Kedah, Datuk Ahmad Kasim, mengumumkan keluar daripada UMNO dan menjadi ADUN Bebas pada sidang DUN ke-14 Mesyuarat Ketiga Penggal.

Sementara itu, kedudukan terkini di DUN Kedah menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengukuhkan cengkaman apabila menguasai 19 daripada 36 jumlah keseluruhan kerusi DUN.

Ia juga menyebabkan Barisan Nasional (BN) melalui UMNO hanya tinggal dua kerusi DUN, manakala PAS menjadi parti kedua terbesar dengan 15 kerusi DUN.

INFO

Kedudukan terkini DUN Kedah

Pakatan Harapan - 19

PAS - 15

Barisan Nasional - 2

Berita Harian X