Ahad, 18 November 2018 | 6:18pm
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - NSTP/Eizairi Shamsudin
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - NSTP/Eizairi Shamsudin

PAS, UMNO tidak akan bercantum - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan mereka hanya ‘bercantum’ dengan UMNO dalam konteks muafakat politik bagi mempertahankan agenda Islam di negara ini dan bukannya bergabung dengan gerakan parti berkenaan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana secara dasarnya PAS sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama bagi mempertahankan agenda Islam dan kaum Melayu di negara ini.

“Buat masa ini, PAS dan UMNO tidak akan bergabung dalam gerakan politik kerana masih banyak perkara yang perlu diselesaikan manakala UMNO sendiri berdepan dengan pelbagai masalah.

“Namun, dalam konteks muafakat politik, kita (PAS) bekerjasama mengikut keperluan bagi mempertahankan agenda terbabit.

“Ia penting dalam usaha untuk menguatkan lagi blok pembangkang kerana sejak kebelakangan ini, banyak cabaran yang dihadapi mendorong kita semua duduk bersama demi muafakat politik bagi mempertahankan agenda Islam dan Melayu di Malaysia” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pelawaan terbuka Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepada PAS untuk bersama-sama mereka dalam gerakan politik, pada satu majlis ceramah di Kampung Gajah, Perak, malam tadi.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata UMNO mengakui kesilapan mereka kerana bermusuhan dengan PAS selama ini dan bekas timbalan perdana menteri itu menyalahkan seorang ‘atok’ atas permusuhan berkenaan.

“Selama 61 tahun UMNO memerintah, 22 tahun adalah di bawah kepimpinan beliau.

“Beliau ajar kami membenci PAS, beliau ajar kami membenci DAP tapi sekarang mereka sedang bercium mulut sesama sendiri,” katanya yang dikatakan merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, Ahmad Zahid berkata, beliau mahu melakukan ‘pembetulan’ dan menganggap kesilapan itu membawa hikmah tersendiri.

“Ya sheikh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, insya-Allah, UMNO di bawah kepimpinan saya, kita bercantumlah.

“Kita bercantum, kita ketepikan perbezaan di kalangan kita atas nama Islam, Melayu, Malaysia dan Bumiputera,” katanya.

Bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mengambil giliran berucap selepas Ahmad Zahid dikatakan tidak mengulas langsung mengenai pelawaan itu.

Sebaliknya, beliau sekadar mengulangi tentangan parti terbabit kepada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan memberi amaran untuk turun ke jalan raya jika kerajaan tetap mahu mengiktiraf konvensyen berkenaan.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, tindakan Abdul Hadi yang tidak mengulas mengenai pelawaan itu sebenarnya secara tidak langsung sudah memberikan jawapan bagi pihak parti.

“Presiden PAS tidak menjawab pelawaan itu langsung, maksudnya bahawa PAS sememangnya buat masa ini tidak akan bercantum dengan UMNO dalam gerakan politik,” katanya.

Berita Harian X