Jumaat, 16 November 2018 | 3:58pm
MOHD Rafizi Ramli. - Arkib NSTP
MOHD Rafizi Ramli. - Arkib NSTP

Ketidakhadiran Rafizi tidak perlu diperbesarkan

SHAH ALAM: Ketidakhadiran Mohd Rafizi Ramli pada perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, malam tadi, bukan isu besar.

Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ini kerana Rafizi selaku Naib Presiden berhak untuk hadir atau sebaliknya, malah ramai pemimpin kanan PKR juga tidak hadir.

“Kenapa perbesarkan apabila Rafizi tidak hadir. Pemimpin kanan lain pun tiada. Itu perkara biasa.

“Kenapa tidak tanya kenapa Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) tidak datang?

“Malam tadi, hanya perasmian persidangan Wanita dan AMK, bukan perasmian persidangan peringkat nasional. Bagi saya, tidak timbul soal siapa datang siapa tidak datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, di sini, hari ini.

Kongres Wanita dan AMK Pusat malam tadi dirasmikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi, berkata proses pemilihan PKR 2018 yang berakhir 10 November lalu dianggap antara yang bersejarah kerana berlangsung ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan Persekutuan.

“Kita melalui proses pemilihan yang panjang dan menarik atau berwarna-warni. Sekarang, fokus kita ialah menjadikan pasukan Anwar sebagai pasukan yang mantap,” katanya.

Berita Harian X