Khamis, 15 November 2018 | 10:31pm
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan perasmian Kongres Nasional Tahunan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK)dan Wanita sempena Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Reformasi kini agenda pembangunan negara - Azmin

SHAH ALAM: PKR kini berapa dalam era pelaksanaan reformasi yang diperjuangkan selama ini.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia berikutan reformasi bukan lagi sekadar slogan, sebaliknya agenda pembangunan negara.

Justeru, katanya, ahli parti dituntut melakukan anjakan minda untuk memiliki pemikiran yang positif dan mencari penyelesaian kepada permasalahan.

“Ahli Keadiłan dan reformis yang mencetuskan pembaharuan dan reformasi harus mengambil iktibar. Anak Muda dan Wanita Keadiłan menggalas tanggungjawab besar untuk menggilap idealisme dan mewarisi sebuah perjuangan rakyat yang luhur.

“Filasuf Karl Popper menegaskan: ‘All life is problem solving’. Maka, kita jangan membuang masa untuk berleter mengenai masalah.

“Peradaban manusia hanya akan maju dengan menyelesaikan masalah. Begitu juga dengan KEADILAN dan Pakatan Harapan. Kita akan maju dengan menyelesaikan masalah rakyat dan negara.


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan perasmian Kongres Nasional Tahunan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK)dan Wanita sempena Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

“Pentadbiran Malaysia Baharu mengambil langkah-langkah tegas melaksanakan reformasi institusi. Selepas 20 tahun kita memperjuangkan reformasi, cita-cita itu kini terpahat dalam dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Nasional Tahunan Wanita dan AMK ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, malam ini.

Turut hadir, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin; Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad; dan calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Amirudin Shari.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, ahli dan kepemimpinan PKR tidak boleh lalai daripada idealisme perjuangan reformasi walaupun ia sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, sejarah mengingatkan bahawa penyakit mendewakan kuasa dan kedudukan banyak menjangkiti revolusi pada masa lampau.

“Sama ada Revolusi Perancis mahupun Revolusi Bolshevik, bahkan Arab Spring yang bermula dengan agenda luhur untuk memerdekakan rakyat, menyimpang dan akhirnya mengkhianati aspirasi rakyat.

“Ia juga boleh menjangkiti PKR sekiranya kita alpa kepada matlamat dan idealisme perjuangan,” katanya.

Berita Harian X