Khamis, 15 November 2018 | 10:20pm
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memalu gong gimik perasmian Kongres Nasional Tahunan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK)dan Wanita sempena Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memalu gong gimik perasmian Kongres Nasional Tahunan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK)dan Wanita sempena Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Tumpu kepada perpaduan parti selepas pemilihan - Azmin

SHAH ALAM: Ahli PKR perlu memberi tumpuan untuk memperkukuhkan perpaduan dalam parti selepas pemilihan berakhir.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perpaduan dalaman yang utuh menjadi benteng kepada ancaman dari luar.

Memetik kata-kata bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill, Mohamed Azmin berkata tokoh itu mengingatkan semua bahawa apabila tiada musuh dalaman, musuh di luar tidak akan mampu mencederakan mereka.

“Ayuh, marilah kita membingkai muafakat, bersatu dan bertekad untuk maju ke hadapan.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada lebih 150,000 ahli Keadilan yang melaksanakan tanggungjawab demokrasi untuk memilih kepemimpinan parti baru-baru ini. Proses ini meletihkan kerana ia adalah satu proses pemilihan yang paling lama dalam dunia dan satu maraton.

“Pimpinan dan calon-calon yang menawarkan khidmat untuk berbakti kepada perjuangan bertebaran di seluruh pelusuk negara dari Sungai Petani ke Johor Bahru, Gombak ke Pandan dan merentasi Laut Cina Selatan untuk berkampung di Tawau, Pensiangan dan Julau,” katanya disambut sorakan ahli Sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Nasional Tahunan Wanita dan AMK ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, malam ini.

Turut hadir, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin; Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad; dan calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Amirudin Shari.

Mohamed Azmin berkata, beliau juga berharap semangat yang ditunjukkan semua ahli parti itu diteruskan bagi mengukuhkan perjuangan parti, khususnya di Sarawak yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

Katanya, PKR bukan sekadar mahu mengekalkan kemenangan parti itu di Ba’kelalan, Kerian dan Batu Lintang, tetapi juga menambah majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Saya ingin mengajak saudara saudari, selesai kongres mari kita berkampung semula di Sarawak kerana saya lihat rakyat Sarawak sedang menanti kehadiran Keadilan untuk membawa perubahan dalam Pilihan Raya di negeri,” katanya.

Berita Harian X