Khamis, 15 November 2018 | 4:25pm
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. - Foto Asyraf Hamzah
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. - Foto Asyraf Hamzah

'Kemuka resolusi jika mahu Presiden UMNO undur'

KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO boleh mengemukakan resolusi khas sekiranya mahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan sementara jawatannya sebagai presiden parti .

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata Ahmad Zahid masih mengekalkan kedudukan dalam parti walaupun berdepan 45 pertuduhan jenayah membabitkan tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Mohamed Nazri merujuk kepada Artikel 9.12 perlembagaan UMNO yang mana ahli MKT termasuk presiden dan timbalan presiden boleh dilucut atau dibubarkan melalui perhimpunan agung khas.

Perkara itu turut tertakluk dengan undian tidak kurang daripada dua pertiga daripada bilangan ahli yang berhak hadir.

“Kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO kekal selagi tiada resolusi dibuat oleh perwakilan parti bagi menuntut perkara itu.

“Terserah kepada beliau (Ahmad Zahid) untuk bercuti sementara atau tidak.

“Kita kena ingat, beliau dipilih oleh perwakilan parti, maka kalau ahli UMNO mahu Zahid bercuti, mereka perlu membuat resolusi dari peringkat akar umbi dan menuntut perkara itu,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, menasihatkan Ahmad Zahid bercuti sementara daripada tugas parti sehingga kes mahkamahnya selesai.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk bagaimanapun kekal sebagai Presiden parti selepas MKT UMNO memutuskan beliau perlu terus bertahan.

Berita Harian X