Isnin, 12 November 2018 | 2:56pm
KONGRES Nasional PKR 2018 yang akan bermula Jumaat ini dilihat signifikan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali memimpin parti yang diasaskannya sejak 1998. - NSTP/Hazreen Mohamad
KONGRES Nasional PKR 2018 yang akan bermula Jumaat ini dilihat signifikan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali memimpin parti yang diasaskannya sejak 1998. - NSTP/Hazreen Mohamad

Anwar bagai sirih pulang ke gagang

KUALA LUMPUR: Kongres Nasional PKR 2018 yang akan bermula Jumaat ini dilihat signifikan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali memimpin parti yang diasaskannya sejak 1998.

Kongres selama tiga hari yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor bakal menobatkan Ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai Presiden selepas memenangi Pemilihan PKR 2018 tanpa bertanding.

Selain Anwar, keputusan rasmi bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ketua Wanita dan 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan diumumkan pada kongres berkenaan.

Kongres itu juga adalah yang pertama selepas PKR bersama Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Antara usul yang akan dibangkitkan sepanjang kongres itu merangkumi ekonomi, sosial dan reformasi politik.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan berkata, kongres itu akan bermula dengan perasmian sayap Wanita dan AMK pada Jumaat ini manakala Sabtu dan Ahad in dijadualkan untuk kongres peringkat pusat.

“Kita sudah mengeluarkan notis, makluman juga sudah dibuat dan seterusnya saya akan bertemu Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan usul kerana saya sebahagian daripada Jawatankuasa Usul.

“Seramai 10 wakil daripada setiap cabang dengan anggaran antara 1,000 hingga 1,500 orang yang akan hadir. Tahun ini dijangka lebih meriah kerana ini tahun pertama kongres diadakan selepas PH membentuk kerajaan Pusat.

Berita Harian X