Sabtu, 10 November 2018 | 12:42pm
RAFIZI Ramli ketika ditemui di pusat pengundian Cabang Julau di Kompleks Sukan Julau, hari ini. - Foto Mohd Radzi Bujang
RAFIZI Ramli ketika ditemui di pusat pengundian Cabang Julau di Kompleks Sukan Julau, hari ini. - Foto Mohd Radzi Bujang

Tidak akan berlaku perpecahan dalam PKR - Rafizi

JULAU: Keputusan pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR diyakini tidak akan mencetuskan keretakan dalam kalangan pucuk pimpinan parti berkenaan.

Calon bagi jawatan nombor dua parti itu, Rafizi Ramli berkata, PKR sebuah parti yang sudah biasa menghadapi krisis dan mereka bersedia untuk menghadapi apa sahaja seterusnya menyelesaikannya dengan cara parti.

Beliau bagaimanapun mengakui, persaingan sengit antara beliau dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyebabkan ada yang melihatnya sebagai tanda-tanda keretakan dalam parti.

“Memang ini (perebutan jawatan Timbalan Presiden) persaingan paling sengit dalam sejarah PKR dan ia berlaku ketika kita dalam kerajaan.

“Saya memberi jaminan tidak akan berlaku keretakan kerana kami adalah reformis yang sudah 20 tahun berjuang, bersuara demi keadilan dan kami sudah biasa sangat dengan pelbagai krisis,” katanya ketika ditemui di pusat pengundian Cabang Julau di Kompleks Sukan Julau, di sini, hari ini.

Rafizi berkata, beliau juga yakin, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah memenangi jawatan Presiden parti itu akan merapatkan semula semua ahli parti selepas pemilihan nanti.

“Apa yang penting dalam PKR ialah semua pihak harus menghormati Datuk Seri Anwar dan menerima sepenuhnya beliau sebagai pemimpin parti.

“Soal siapa kalah, siapa menang dalam pertandingan ini bukan keutamaan kerana yang penting kita berdiri teguh di belakang Datuk Seri Anwar,” katanya.

Sementara itu, Rafizi yakin dua cabang PKR, Julau dan Pensiangan yang memiliki ahli yang ramai akan memberi sokongan padu kepadanya.

“Julau mempunyai 13,000 ahli dan Pensiangan ada 11,000 ahli dengan masing-masing 4,000 ahli akan mengundi hari ini.

“Majoriti ahli di dua cabang itu adalah penyokong saya yang saya yakin sokongan itu terus diterjemahkan hari ini,” katanya.

Berita Harian X