Sabtu, 10 November 2018 | 11:32am
MOHAMED Azmin (tengah) berselfie bersama orang ramai ketika melawat ke tapak pameran selepas merasmikan Karnival Gemilang 2018 SK Taman Melawati 2 di Hulu Kelang. - NSTP/Rosdan Wahid
MOHAMED Azmin (tengah) berselfie bersama orang ramai ketika melawat ke tapak pameran selepas merasmikan Karnival Gemilang 2018 SK Taman Melawati 2 di Hulu Kelang. - NSTP/Rosdan Wahid

Pemimpin tertinggi PKR jangan sombong - Azmin

HULU KELANG: Pimpinan tertinggi PKR diingatkan supaya tidak sombong dan angkuh dengan kuasa hingga sanggup ‘menghalalkan’ proses pemilihan parti yang dilihat tidak telus serta meragukan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pimpinan parti perlu akur dengan aduan dan desakan akar umbi yang bimbang dengan ketidaktelusan proses pemilihan ketika ini, khususnya membabitkan Cabang Julau, Sarawak.

“Kita sudah mendesak supaya pemilihan Cabang Julau ditangguhkan sehingga daftar pemilih itu dibersihkan.

“Sebagai satu gerakan reformasi, pemimpin tertinggi parti mesti bersedia mendengar keluhan ahli di peringkat akar umbi.

“Jangan sombong dan angkuh hingga sanggup mendesak proses pemilihan yang tidak telus, semata-mata untuk berpihak kepada kumpulan tertentu,” katanya ketika ditemui NSTP selepas merasmikan Karnival Gemilang 2018 Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati 2 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Ahli Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat PKR, R Sivarasa mengenai bukti jelas ketidaktelusan dalam pertambahan ahli di Cabang Julau secara mendadak.

Sivarasa dalam satu kenyataan semalam, berkata 6,474 daripada 13,178 ahli yang secara tiba-tiba bertambah, dihubungi namun 5,018 daripada mereka tidak menjawab panggilan.

Seramai 1,310 yang menjawab panggilan pula mengaku tidak tahu menyertai parti itu, 237 daripada mereka pula mengaku berminat menyertai PKR tetapi tidak pernah mendaftar.

Turut mencetuskan kontroversi adalah lawatan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Julau, Selasa lalu, yang didakwa menyebelahi kem Rafizi Ramli (calon Timbalan Presiden), namun Timbalan Perdana Menteri itu menafikan lawatan itu adalah untuk berkempen bagi calon tertentu.

Isu tidak telus di Cabang Julau tercetus selepas berlaku kenaikan mendadak jumlah keahliannya dari 603 kepada lebih 13,000 ahli pada 27 Jun lalu sehingga laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang mewakili Biro Politik pada Khamis lalu, berkata tidak berlaku sebarang perlanggaran keahlian di Cabang Julau.

Ditanya mengenai keputusan Biro Politik, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mengaku tidak bersetuju dengannya kerana ia dilihat mengetepikan puluhan aduan terhadap isu itu, termasuk laporan kepada SPRM.

“Ya (tidak setuju), mesti. Kita dulu pendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya bertindak adil membersihkan daftar pemilih, mengapa kita harus melakukan perkara yang sama selepas diberikan kuasa.

“Sebab itu saya kata jangan kita sombong dengan kuasa yang ada kerana rakyat dan anggota parti akan menghukum kita jika gagal memberikan kualiti kepemimpinan yang terbaik.

“Saya harap dan mendesak Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan pihak bertanggungjawab menyiasat perkara ini secara menyeluruh untuk mempertahankan reputasi dan kredibiliti parti,” katanya.

Mengenai peluang mempertahankan jawatan Timbalan Presiden jika pemilihan Cabang Julau diteruskan hari ini, Mohamed Azmin berkata: “Bagi saya bukan soal keputusan, tapi proses pemilihan ini mempunyai kelemahan dan kegagalan Jawatankuasa Pemilihan Parti melaksanakan proses yang bersih dan adil.”

Berita Harian X