Jumaat, 9 November 2018 | 9:10pm
DR Ahmad Zahid Hamidi - Foto SAIRIEN NAFIS
DR Ahmad Zahid Hamidi - Foto SAIRIEN NAFIS

MKT UMNO tidak bincang cuti Zahid

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi UMNO tidak membincangkan cadangan meminta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti daripada menjalankan tugasnya sebagai Presiden UMNO sehingga kesnya di mahkamah selesai.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada ahli MKT yang mengemukakan cadangan itu termasuk daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi sendiri pada mesyuarat itu tadi.

Katanya, bagaimanapun, MKT bersetuju dan meraikan apa saja cadangan.

“Ada pandangan... kami meraikan perbezaan pendapat dan tiada seorang pun ahli MKT dan Pemuda pun yang meminta saya bercuti.

“MKT membincangkan pengukuhan institusi Presiden supaya dapat bergerak dengan lebih kukuh selari perjalanan parti dan kami meletakkan titik nokhtah dalam isu ini dan menolak usaha memecahkan parti dari dalam dan luar, ” katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat bulan MKT di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Sebelum ini, dalam siri jelajah parti itu di Terengganu Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak akan berundur daripada menjalankan tugasnya sebagai Presiden UMNO sehingga kesnya di mahkamah selesai.

Sebaliknya, beliau mengambil keputusan untuk terus menggalas kepemimpinan UMNO bersama barisan kepemimpinan yang ada sekarang.

Sebelum ini, Pemuda UMNO dilaporkan menggesa Ahmad Zahid bercuti dan berehat buat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden parti sehingga kesnya selesai di mahkamah.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, gesaan itu untuk memberi peluang Ahmad Zahid yang berdepan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah menumpukan usaha membersihkan nama di mahkamah.

Bagaimana pun, kelibat Asyraf wajdi tidak kelihatan pada sidang media itu yang hanya dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dua Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anwar Nasarah.

Ahmad Zahid berkata, UMNO menolak semua usaha mana-mana pihak untuk membawa keluar 48 ahli Parlimen yang menjadi aset utama parti.

“Saya yakin mereka semua akan kekal bersama parti dan sebarang perbincangan perlu dijalankan secara ‘enbloc’ ,” katanya.

Beliau juga menjelaskan MKT juga bersetuju UMNO akan mengetuai semua program penentangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bersama gagasan pembangkang yang lain.

Katanya, sebagai permulaan beliau bersama Presiden PAS akan berkongsi pentas dalam kempen penentangan ICERD di Pasir Salak, 17 November ini.

“MKT bersetuju ICERD tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan Perlembagaan Negara,” katanya.

Beliau berkata, MKT UMNO turut membincangkan tindakan agensi penarafan antarabangsa, Moody’s yang menurunkan penilaian Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kepada negatif berbanding stabil sebelum ini.

“Kami amat sedih dengan perkara ini yang mana dana simpanan PETRONAS digunakan untuk menampung defisit belanjawan RM30 bilion. Tahun lalu, jumlah dividen PETRONAS adalah RM20 bilion.

“Ini dikhuatiri akan mengurangkan dana simpanan yang diperoleh dari syarikat itu,” katanya.

Berita Harian X