Khamis, 1 November 2018 | 12:28pm
ABBAS Azmi
ABBAS Azmi

Sikap ego pemimpin UMNO masih tidak berubah

SHAH ALAM: Sikap ego kepemimpinan tertinggi UMNO untuk menerima pandangan pemimpin muda dalam parti itu menunjukkan mereka masih belum berubah.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Abbas Azmi berkata, ia berbeza dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mengamalkan budaya politik matang, malah kepemimpinan tertinggi parti bersikap terbuka menerima perbezaan pendapat.

“Apabila Ketua Pemuda UMNO (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) memberi pandangannya berhubung isu Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang sedang berdepan kes di mahkamah, rata-rata pemimpin UMNO menyerang kembali (Asyraf Wajdi).

“Nampaknya orang muda masih tidak boleh bersuara dalam UMNO... orang muda kena sentiasa ‘yes man’.

“Jika pandangan pemimpin muda tidak sehaluan, mereka akan dituduh macam-macam... pengkhianat, derhaka dan berhaluan kiri,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abbas berkata, sudah tiba masanya orang muda yang masih bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk keluar parti menyertai HARAPAN.

“Saya menggesa orang muda untuk bersama HARAPAN demi masa depan negara yang lebih gemilang,” katanya.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi menggesa Ahmad Zahid untuk mempertimbangkan supaya bercuti dan berehat buat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden parti sehingga kesnya selesai di mahkamah.

Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, gesaan itu adalah untuk memberi peluang kepada Ahmad Zahid yang berdepan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah, menumpukan usaha membersihkan nama di mahkamah.

Berikutan kenyataan itu pelbagai pihak menyelar Asyraf Wajdi antara Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, yang memuat naik video selama 10 minit dalam nada serius menuntut ketua pemuda meletakkan jawatan.

Berita Harian X