Rabu, 31 Oktober 2018 | 5:53pm

'Dah macam kanibal makan sesama sendiri'

KUALA LUMPUR: Tindakan Pemuda UMNO meminta Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berehat daripada menjalankan tugas parti diibaratkan seperti ‘kanibalisme’.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata desakan berkenaan tidak sepatutnya timbul kerana Ahmad Zahid bukan penjawat awam.

Katanya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pernah didakwa dan perbicaraan berjalan namun tidak diminta meletak jawatan.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah dipenjarakan namun masih memegang jawatan Ketua Umum PKR.

“Inilah kesetiaan ahli terhadap pemimpin walau apa pun yang berlaku, ahli tetap setia.

“Saya tak faham dengan Pemuda UMNO. Apabila Presiden kena dakwa, cepat sangat (mendesak), dah macam kanibal... makan sesama sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Mohamed Nazri mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menggesa Ahmad Zahid mempertimbangkan untuk bercuti dan berehat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden parti sehingga kesnya selesai di mahkamah.

Mohamed Nazri berkata, pemimpin parti perlu bertindak menggunakan saluran betul.

“Dapatkan pandangan pemimpin akar umbi, mulakan dengan usul di peringkat UMNO Bahagian kalau nak minta Presiden berehat.

“Dalam soal begini, kalau tuan badan tak rasa nak berehat, tak boleh nak buat apalah,” katanya.

 AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz . NSTP SAIRIEN NAFIS
AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz . NSTP SAIRIEN NAFIS
Berita Harian X