Isnin, 29 Oktober 2018 | 3:38pm
GAMBAR fail, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib. - Foto Faiz Anuar
GAMBAR fail, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib. - Foto Faiz Anuar

Sarankan Ahmad Zahid berehat - Muhammad

SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, menyarankan Presiden parti itu berehat buat seketika daripada menjalankan tugas, sehingga kesnya selesai di mahkamah.

Beliau berkata, jika masih sayangkan UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu mempertimbangkan keputusan untuk berehat secara sukarela demi kebaikan parti.

“Bukan sesuatu yang pelik (diminta berehat). Ia adalah amalan biasa dalam UMNO jika seseorang pemimpin berehat buat seketika jika ada kes di mahkamah. Saya sendiri dulu pun ada kes (Mahkamah Australia) dan saya ambil keputusan berehat.

“Saya rasakan beliau (Ahmad Zahid) kena berehat sebab dalam keadaan sekarang beliau dilihat tidak berkesan untuk jalankan tugas. Beliau kena selesaikan (kes), lepas itu baru sambung semula tugas,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menggesa Ahmad Zahid untuk mempertimbangkan supaya bercuti dan berehat buat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden parti sehingga kesnya selesai di mahkamah.

Asyraf Wajdi berkata, gesaan itu adalah untuk memberi peluang kepada Ahmad Zahid yang berdepan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah, menumpukan usaha membersihkan nama di mahkamah.

Ahmad Zahid bagaimanapun menegaskan tidak akan berundur serta mengambil keputusan untuk terus mengemudi UMNO bersama barisan kepemimpinan yang ada sekarang.

Berikutan kenyataan Asyraf Wajdi itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, turut memuat naik video selama 10 minit dalam nada serius menuntut ketua pemuda meletakkan jawatan supaya beliau boleh mencabarnya dalam pemilihan semula, selain menyifatkannya sebagai ketua pemuda yang gagal.

Berita Harian X