Jumaat, 26 Oktober 2018 | 12:07pm
Dr Asyraf Wajdi (kanan), Shahril (kanan Dr Aysraf) dan Exco Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur semalam. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad
Dr Asyraf Wajdi (kanan), Shahril (kanan Dr Aysraf) dan Exco Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur semalam. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad

Berpada-pada kritik pemimpin

KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO perlu berhemah menegur atau mengkritik pemimpin parti itu untuk menjaga hubungan baik sesama mereka.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, berkata perbezaan pendapat dan pandangan seharusnya dihormati dan tidak memecah-belahkan parti.

“Elakkan menggunakan bahasa kasar dan kesat sesama pemimpin UMNO kerana ia merugikan parti dan hanya menguntungkan pihak lawan,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mencabar Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meletak jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO selepas gagal mempertahankan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ini berikutan Asyraf Wajdi dilaporkan menasihatkan Ahmad Zahid supaya bercuti kerana berdepan dengan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah.

AHMAD Zahid (kiri) dan Lokman di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
AHMAD Zahid (kiri) dan Lokman di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, sebelum ini berkata prosedur operasi standard (SOP) kepemimpinan tertinggi bercuti jika dihadapkan ke mahkamah tidak terpakai dalam kes Ahmad Zahid kerana ia dibuat ketika UMNO menjadi kerajaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, pula sebelum ini berkata Ahmad Zahid mungkin perlu berehat sementara daripada menjalankan tugas partinya berikutan tuduhan berkenaan.

Mohamad berkata, SOP ditetapkan pada 2009 yang memerlukan pemimpin tertinggi bercuti jika mereka berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Sementara itu, Asyraf Wajdi ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen ketika diminta mengulas desakan Lokman supaya beliau meletak jawatan.

Berita Harian X