Khamis, 25 Oktober 2018 | 6:27pm
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama Exco pemuda ketika sidang media di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama Exco pemuda ketika sidang media di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pemuda UMNO nasihat Ahmad Zahid bercuti

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempertimbang supaya bercuti dan berehat buat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden parti sehingga kesnya selesai di mahkamah.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata gesaan ini adalah untuk memberi peluang kepada Ahmad Zahid yang berdepan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah, untuk menumpukan usaha membersihkan nama di mahkamah.

“Adalah tidak adil membebankan Presiden parti yang berdepan dengan banyak pertuduhan untuk terus memimpin parti dalam keadaan UMNO perlu bergerak pantas.

“Dengan ini, Pemuda UMNO sebulat suara menggesa Presiden UMNO dapat mempertimbangkan untuk bercuti buat seketika daripada menjalankan tugas sebagai presiden sehingga kes beliau dibicarakan dan diputuskan di mahkamah.

“Akan tetapi permintaan untuk bercuti dan berehat tidak bermakna kita menjatuhkan hukuman beliau bersalah atau harus melepaskan jawatan. Kita hanya minta bercuti dan berehat untuk tumpu kepada kes dan pertuduhan di mahkamah.

“Pemuda UMNO melahirkan rasa simpati dan amat dukacita dengan jumlah pertuduhan yang terpaksa dihadapi Presiden UMNO.

“Pemuda tetap berpendirian selagi tidak disabitkan hukuman, beliau berhak dilayani sebagai seorang yang tidak bersalah. Berdasarkan prinsip Islam dan perundangan, seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah.

“Biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di mahkamah, bukan di pentas media.

“Pemuda UMNO mahu beliau diberikan hak dan peluang untuk membela diri dan mendapat keadilan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Ahmad Zahid minggu lalu mengaku tidak bersalah dan mohon bicara di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas 45 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri itu berkata, beliau akan menggunakan mahkamah sebagai tempat terbaik untuk melakukan pembelaan terhadap dirinya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum ini berkata Ahmad Zahid mungkin perlu bercuti selepas berdepan 45 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Seorang Exco Pemuda UMNO yang enggan namanya didedahkan berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak UMNO terus menjadi sasaran kebencian rakyat selepas apa yang menimpa parti dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Sementara itu, ketika ditanya bilakah Pemuda UMNO akan menyuarakan pandangan ini kepada Ahmad Zahid, Asyraf Wajdi berkata, ia akan dititipkan dalam program pemukiman pergerakan itu di Janda Baik hujung minggu ini.

“Kita akan bertemu dengan Presiden dalam retreat minggu ini,” katanya.

Mengulas siapakah yang bakal memangku tugas jawatan Presiden jika Ahmad Zahid bercuti, Asyraf Wajdi berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan menentukannya.

“Ini adalah keputusan Pemuda. MKT akan bincangkan nanti,” katanya.

Berita Harian X