Isnin, 22 Oktober 2018 | 5:09pm
AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. - Foto Sairien Nafis
AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. - Foto Sairien Nafis

Jadi PM atau tidak, saya tetap sokong Anwar - Nazri Aziz

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata beliau akan kekal menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata sokongan tegar kepada Anwar akan berkekalan, tidak kira sama ada Ketua Umum PKR itu menjadi perdana menteri atau tidak.

Mohamed Nazri yang sebelum ini lantang mengkritik Pakatan Harapan (PH) ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, mengakui sudah lama menjadi penyokong tegar Anwar.

“Saya sokong Anwar, saya sentiasa jadi penyokong Anwar. Saya penyokong kuatnya, sama ada beliau menjadi Perdana Menteri atau tidak, saya akan tetap menyokong beliau.

“Saya adalah kawan dia, sama ada waktu susah atau senang, malah ketika saya menjadi menteri dulu, saya hadir pada majlis perkahwinan Nurul Izzah (anak sulung Anwar) sebagai tetamu.

“Saya masih menyokong Anwar, cuma saya tetap bersama UMNO,” kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas itu ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Mohamed Nazri sebelum ini menyatakan sokongan secara terbuka kepada Anwar ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Ditanya mengenai kemungkinan UMNO dan PKR menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan perpaduan (UG), Mohamed Nazri berkata, tiada yang mustahil dalam politik Malaysia.

“Apa saja boleh berlaku. Perkara yang kita tidak jangka sebelum ini pun sudah berlaku. Tiada yang mustahil dalam politik Malaysia,” katanya.

Berita Harian X