Khamis, 18 Oktober 2018 | 8:23am
DATUK Seri Dr Anwar Ibrahim berucap pada majlis Meet Anwar Ibrahim, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor, malam tadi. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Dr Anwar Ibrahim berucap pada majlis Meet Anwar Ibrahim, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor, malam tadi. - Foto BERNAMA

Agong nasihatkan saya bersihkan nama - Anwar

KUALA SELANGOR: Bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pada malam beliau dibebaskan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, menasihatkan supaya beliau membersihkan nama daripada tuduhan liwat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau turut dinasihatkan supaya tidak mengulangi kezaliman yang berlaku terhadapnya kepada orang lain.

“Saya ulang, selepas dibebaskan, Yang di-Pertuan Agong menasihatkan saya supaya bersihkan nama dari tahun 1998 sehingga 2018,” katanya yang berkongsi nasihat Sultan Muhammad V kepadanya di majlis Meet Anwar Ibrahim, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya, di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau diajukan soalan berkenaan kebenaran isu liwat yang disabitkan terhadapnya sebelum ini.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Anwar Ibrahim Club (AIC) dan UNISEL.

Pada 16 Mei lalu, Anwar diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, dilaporkan berkata rayuan pengampunan itu dibentang dan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-51.

Dalam majlis sama, Anwar mengakui beliau merasa terluka kerana masih belum menjadi perdana menteri, namun katanya itu adalah pengorbanan dirinya untuk negara.

“Ada orang tanya kenapa terlalu cepat? Aku dah tunggu 20 tahun! Kenapa PD (Port Dickson)? Dah menang besar, sudahlah. Dulu calon perdana menteri Anwar tapi kena penjara. Bagi ruang kepada Tun (Tun Dr Mahathir Mohamad),” katanya.

Berita Harian X