Jumaat, 28 September 2018 | 10:29pm

UMNO mampu bangkit dari abu

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 yang membuka tirainya hari ini, platform terbaik dalam menilai kesetiaan dan komitmen pemimpin mahupun ahli parti itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Presiden UMNO itu, berkata PAU 2018 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, jauh berbeza berbanding tahun sebelum ini.

Katanya, hakikatnya parti itu kini di persimpangan yang cukup menduga kekuatan setiap seorang daripada ahlinya untuk terus istiqamah dengan perjuangannya.

“Dari satu sudut memang pahit untuk ditelan, tetapi dari satu sudut lain, ini adalah peluang untuk UMNO bangkit semula dari abu.

“Peluang untuk kita menilai kembali asas perjuangan kita, dan untuk kita mengenal siapa dalam kalangan kita yang benar-benar sayang dan cintakan parti dan yang mana hanya bersama parti untuk kepentingan sendiri,” katanya menerusi catatan terbaru di Facebook rasminya, hari ini.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri, berkata bagaimanapun, beliau berkeyakinan ahli UMNO dari serata pelusuk negara yang berkampung di PWTC kali ini adalah mereka yang berpegang teguh kepada perjuangan parti.

“Saya percaya ahli UMNO yang datang kali ini, adalah sebenar-benar ahli, setia dan betul-betul berpegang kepada perjuangan parti serta tidak akan berganjak dalam menjunjung panji UMNO. Mereka juga tidak akan sesekali biarkan ia rebah ke tanah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihati agar parti merapatkan saf dan meraikan perbezaan pendapat dalam usaha mengukuhkan semula UMNO.

Katanya, beliau pernah menyatakan bahawa pemimpin datang dan pergi, tetapi perjuangan parti UMNO tidak akan terkubur.

“Di Perhimpunan Agung UMNO kali ini, saya berharap kita terus meraikan perbezaan pendapat, kita berdebat, bermusyawarah, menyuarakan pandangan.

“Semuanya tak menjadi masalah, asalkan nawaitu dan matlamatnya adalah serupa, yakni demi kemaslahatan dan kelangsungan parti UMNO yang kita cintai.

“Di saat ini, lebih daripada segala-galanya, adalah masa untuk kita bersama-sama, berpadu tenaga, bersatupadu demi UMNO,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mampu mengharungi segala rintangan dan bangkit berjuang demi bangsa, agama dan negara.

“Kabinet Bayangan yang diumumkan baru-baru ini juga menunjukkan walaupun kita kini pembangkang, kita mampu mengetengahkan suara dan aspirasi rakyat sebagai agenda nasional dengan keupayaan dan kewibawaan pemuda dan pemimpin baru serta disokong pemimpin berpengalaman,” katanya.

Berita Harian X