Ahad, 16 September 2018 | 8:35pm

Anwar perlu diberi laluan mudah jadi PM

BANGI: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, layak diberi laluan mudah untuk menjadi Perdana Menteri kelapan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad berdasarkan perjuangan reformasi yang dipeloporinya.

Ketua Majlis Istisyari Persatuan Wadah Penceramah Umat Malaysia (WADAH), Datuk Dr Saddiq Fadzil, berkata laluan mudah menjadi bukti kesepakatan parti dalam Pakatan Harapan (PH) untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Itu memang kesepakatan semua pihak, semua parti dalam PH, itu kesepakatan yang bijaksana, memang seharusnya beliau menjadi Perdana Menteri sejak dulu lagi tetapi tertangguh.

“Bagaimanapun, nampaknya Perdana Menteri sekarang sangat memahami aspirasi rakyat yang mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri. Seharusnya Anwar diberi laluan mudah lagi lancar untuk menggantikan Dr Mahathir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama Seminar Gerakan Islam dan Perubahan Politik sempena Muktamar Nasional WADAH ke-12 di Pusat Konvensyen Bangi di sini, semalam.

Yang turut hadir, Presiden WADAH, Ahmad Azam Ab Rahman.

Dalam pada itu, Saddiq berkata, Malaysia baharu perlu diterapkan dengan tujuh agenda Deklarasi Permatang Pauh yang ditulis oleh Anwar pada 12 September 1998.

“Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) amat mengejutkan, malah syaitan juga terkejut. Hakikatnya ia bukan sesuatu yang tiba-tiba berlaku sebaliknya sorotan dan rentetan panjang bermula daripada deklarasi berkenaan.

“Perubahan (kerajaan) pada 9 Mei lalu tidak berlaku begitu saja, ia ada rentetan peristiwa yang panjang dan pangkalnya ialah deklarasi oleh Anwar pada 1998. Oleh itu kita meminta supaya Malaysia baharu harus diteraskan dengan agenda daripada deklarasi terbabit,” katanya.

INFO

Deklarasi Permatang Pauh

-Memperjuangkan ketinggian martabat manusia

-Memperjuangkan keadilan untuk semua

-Pendapatan kuasa rakyat

-Memperjuangkan kedaulatan ekonomi

-Membanteras rasuah dan penyalahgunaan rasuah

-Memperkukuh hati diri budaya yang dinamik

-Membina bangsa yang bertamadun dan beradab

KETUA Majlis Istisyari Persatuan Wadah Penceramah Umat Malaysia (WADAH), Datuk Dr Saddiq Fadzil. - Foto Asyraf Hamzah
KETUA Majlis Istisyari Persatuan Wadah Penceramah Umat Malaysia (WADAH), Datuk Dr Saddiq Fadzil. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X