Ahad, 16 September 2018 | 1:43pm
 PARA perwakilan yang hadir pada Muktamar PAS ke 64 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak. - Foto Ghazali Kori
PARA perwakilan yang hadir pada Muktamar PAS ke 64 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak. - Foto Ghazali Kori

Jaga batas kerjasama dengan UMNO - Pemuda PAS

KUALA NERUS: Pimpinan PAS diingatkan supaya menjaga batasan dalam menjalin kerjasama dengan UMNO, bagi memastikan prinsip perjuangan PAS tidak tersasar.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata perdamaian antara PAS dan UMNO yang membentuk kerjasama politik dalam blok pembangkang ketika ini, mesti berpaksikan Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS.

“PAS kini bekerjasama dengan parti pembangkang dan kita harus terima dengan hati terbuka.

“Dengan keterbukaan kita menerima perdamaian dan jalinan kerjasama politik ini, tidak kiralah apa pun istilahnya sama ada taawun, tahaluf dan sebagainya, tetap ada batas yang perlu diingat.

“Batasnya ialah PAS akan bekerjasama selagi rakan kita berpegang kepada prinsip memartabatkan Islam,” katanya pada perbahasan usul sempena Muktamar PAS Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang berkata, dalam setiap kerjasama politik, pasti ada kalangan mereka yang menjadikan ruang perdamaian sedemikain untuk kepentingan sendiri.

“Orang ini kita berikan kepada Allah untuk dibalas nanti. Kalau dia khianat, Allah akan keluarkan dan ini terbukti apabila sebelum ini kita sepentas dengan mereka (dalam Pakatan Rakyat), kini tidak lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama PAS, Zulkarnain Hassan, turut mengingatkan pimpinan parti supaya berpada-pada dan tidak berlebih-lebih dalam hubungan kerjasama dengan rakan pembangkang.

“Dulu kita bermusuh dengan UMNO, sekarang makin rapat tetapi jangan sampai taawun kita ini meninggalkan asas perjuangan.

“Kedua, pastikan ia dibuat atas dasar dakwah dan ketiga untuk mengukuhkan blok pembangkang.

“Ingatan terakhir, biarlah mereka yang datang kepada kita dan bukan kita yang beriya-iya pergi kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, kepercayaan tinggi diletakkan kepada anggota Majlis Syura Ulama untuk meneliti jalinan kerjasama itu.

Berita Harian X