Sabtu, 15 September 2018 | 8:35pm
Perwakilan Negeri Kelantan, Datuk Hassan Mohamood membahas usul dasar presiden pada Muktamar PAS ke 64 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak hari ini. - Foto Ghazali Kori
Perwakilan Negeri Kelantan, Datuk Hassan Mohamood membahas usul dasar presiden pada Muktamar PAS ke 64 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak hari ini. - Foto Ghazali Kori

Perwakilan PAS beri 'lampu hijau'

KUALA NERUS: Jika nada beberapa perwakilan PAS dijadikan ukuran awal terhadap momentum penerimaan kerjasama parti itu bersama UMNO, maka isyaratnya cenderung kepada menjadikan episod baharu itu satu kenyataan.

Membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, hari ini, beberapa perwakilan dilihat memberi ‘lampu hijau’ ke arah memakmurkan kerjasama PAS-UMNO.

Nada dilontarkan secara lunak, dengan masing-masing mengajak seluruh ahli PAS berlapang dada memberi sokongan kepada pimpinan parti menzahirkan taawun siyasi atau saling menolong demi kelangsungan Islam dan umatnya.

Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan yang mewakili negeri itu, Datuk Hassan Mahmood, berkata masanya sudah tiba bagi penyokong PAS mendampingi UMNO sebagai tanda sokongan tanpa mengira beragama Islam atau sebaliknya.

Katanya, UMNO memerlukan sokongan Islam susulan pencapaian buruknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Kita mesti dampingi orang UMNO yang sudah pecah kapalnya, supaya mereka bersama dengan kita pada PRU akan datang. Mereka (UMNO) bukan saja perlukan sokongan orang Islam, tetapi juga bukan Islam.

“Dalam hal ini, kita mesti yakin perjuangan ini tidak boleh dikalahkan oleh sesiapa pun. PAS mungkin kalah pada PRU lalu, namun perjuangan perlu diteruskan,” katanya.

Pembahas Selangor, Dr Zamri Zainudin, berkata PAS Selangor sedia bangkit daripada ‘luka dan cedera’ untuk menerima arahan strategi politik baharu daripada pimpinan tertinggi parti.

Perwakilan Negeri Selangor, Dr Zamri Zainudin membahas usul dasar presiden pada Muktamar PAS ke 64 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak hari ini. - Foto Ghazali Kori
Perwakilan Negeri Selangor, Dr Zamri Zainudin membahas usul dasar presiden pada Muktamar PAS ke 64 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak hari ini. - Foto Ghazali Kori

“Dengan taawun siyasi atas nama kesatuan ummah ini, kita harap nasib rakyat yang ditindas selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU-14 lalu dapat dibela,” katanya.

Pembahas Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Lau Chin Chua, berkata walaupun muafakat PAS dan UMNO mendapat restu ahli, pucuk pimpinan parti masih perlu berhati-hati parti dan mengelak daripada terjebak dengan pemimpin rasuah hingga mengkhianati kepercayaan rakyat.

“Kita kini berbaik dengan UMNO, MCA dan MIC, namun kita perlu ingat, UMNO rebah kerana ada pemimpinnya tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab dan banyak terbabit rasuah.

“Kita boleh berbaik dengan mereka (UMNO) tetapi jangan bela sekiranya mereka buat salah,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah, mahu taawun siyasi PAS-UMNO diberi tumpuan dan dilaksanakan berasaskan Islam dengan kembali kepada al-Quran dan sunnah sebagai pengikat kelangsungan Islam.

“Berilah sokongan kepada pemimpin kita untuk memastikan taawun siyasi dapat dizahirkan dengan baik. Pada PRU akan datang, kita perlu pastikan pertandingan satu lawan satu demi menjamin kemenangan,” katanya.

Berita Harian X